Buletin

JURUTERA BMW Z4 DAN TOYOTA SUPRA TIDAK BERCAKAP SEJAK 2014 – AIH, KENAPA PULA?

Sebagaimana yang kita tahu, BMW dan Toyota menjalin kerjasama untuk menghasilkan model sports yang cukup ditunggu-tunggu, Z4 dan Supra sejak tahun 2012 lagi.

Z4 dijangka diperkenalkan pada acara Paris Auto Show 2018 awal bulan depan. Manakala pembinaan Supra masih berjalan akan didedahkan kepada umum tidak lama lagi.

Di sebalik semua itu, ada satu perkara yang menarik berlaku. Pasukan jurutera yang bertanggungjawab ke atas penghasilan dua jentera tersebut sebenarnya tidak pernah bercakap atau berkomunikasi sejak tahun 2014.

Situasi itu kedengaran agak pelik kerana kalau sudah bekerjasama, mestilah perbincangan diadakan untuk berkongsi maklumat dan input sewajarnya.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Jurutera Supra, Masayuki Kai selepas memandu uji model prototaip di Madrid Sepanyol.

“Kami bersetuju tentang aspek pakej, seperti titik pinggul untuk pemandu, jarak roda, lebar, posisi tangki minyak, tiang A dan sebagainya pada pertengahan tahun 2014.

“Selepas itu, langsung tiada komunikasi di antara kami,” jelas Kai kepada laman web CNET. Disebabkan perkembangan itu, Kai sendiri tidak tahu banyak mana komponen yang dikongsi di antara Z4 dan Supra, kecuali platformnya.

Namun begitu, ia dilihat sebagai satu perkembangan yang ‘bagus’ kerana kedua-dua kereta pasti akan mempunyai dinamik pemanduan tersendiri. Sejauh mana perbezaannya, kita tunggu sahajalah.

Google ads
Back to top button