Buletin

KALASHNIKOV BIKIN EV – MACAM RENAULT TWIZY PUN ADA!

Anda kenal Kalashnikov AK-47? Ya, penulis tahu anda sememangnya seorang lelaki yang berbudaya (tiru meme M Nasir).

Ya, Kalashnikov lebih terkenal di kalangan kita sebagai pengeluar mesingan, raifal dan kelengkapan ketenteraan, namun mungkin ada yang tidak tahu Kalashnikov juga sebenarnya ada buat kereta elektrik juga!

Imej paten yang diperoleh daripada pejabat pendaftaran paten Russia itu menemukan dua jenis rekaan EV yang bakal diproduksikan oleh pengeluar raifal itu dalam masa terdekat.

Jika dilihat sekali pandang, EV Kalashnikov ini membawakan rekaan seperti sebuah Renault Twizy dengan struktur roda yang terdedah dan didatangkan dengan elemen-elemen tentera, lihat sahaja pada rekaan pintu sisi EV ini.

Model beroda empat dikenali sebagai Izh UV-4, dengan dimensi sepanjang 3.4 meter, lebar 1.5 meter dan tinggi 1.7 meter, serta trenkuasa elektrik 67 hp, kelajuan tertinggi 80 km/j dan jarak pemanduan sehingga 150 km.

Izh UV-4 turut memiliki kelengkapan seperti sistem pemanas, sistem pendingin hawa, kluster instrumen digital, skrin infotainmen serta suspensi yang boleh dilaras.

Sebuah lagi model EV, kali ini beroda tiga yang membawakan penggayaan yang hampir serupa dengan model EV beroda empat itu tadi.

Model yang tidak bernama ini boleh memuatkan sehingga dua orang pada satu-satu masa, namun hadir dengan rekaan kabin terdedah tanpa pintu, serta bumbung suria.

Tiada sebarang petanda berhubung kemunculan kedua-dua model ini, namun sebagai peminat Kalashnikov, adakah anda berminat untuk membeli model EV ini?

Google ads
Back to top button