Buletin

KAPTEN CHE HAMDAN ISMAIL, NAMAMU TERPAHAT DALAM LIPATAN SEJARAH NEGARA

Figura bernama, Kapten Hamdan Che Ismail bukanlah selebriti terkenal tetapi dia merupakan insan yang bertanggungjawab mengemudi penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia pada Ahad.

Bahkan, nama Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines itu akan terpahat dalam lipatan sejarah tanah air sebagai antara insan yang memberi sinar harapan baharu kepada rakyat negara ini dalam memerangi pandemik Covid-19.

Menggalas tugas yang besar cukup mendebarkan bagi Hamdan sepanjang tempoh 29 tahun berkecimpung dalam dunia penerbangan.

Sepanjang penerbangan selama hampair satu jam dari Singapura itu, dia yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines perlu memastikan suhu bersesuaian dalam pesawat dikekalkan agar tidak menjejaskan keberkesanan vaksin.

Hamdan mengakui berasa sedikit gementar dan takut apabila memikirkan mengenai tugasan membawa vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Bila fikir ada vaksin Covid-19 dalam pesawat memang ada terfikir takut ia (vaksin) rosak… Alhamdulillah vaksin telah sampai ke Malaysia,” kata juruterbang itu kepada Bernama selepas mendaratkan pesawat itu serta menambah cuaca sepanjang penerbangannya pada Ahad adalah baik.

Hamdan menjelaskan, dia bersama lima lagi kru iaitu seorang pembantu juruterbang, dua kru kabin, seorang petugas MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) serta seorang jurutera berlepas ke Singapura pada pukul 6 pagi Ahad dan tiba satu jam kemudian.

Menurutnya, kira-kira dua jam diperlukan untuk proses memindahkan vaksin Covid-19 ke dalam kargo pesawat itu sebelum berlepas kira-kira jam 9 pagi.

“Apabila tiba di KLIA, saya rasa gembira, terharu dan teruja kerana telah berjaya membawa vaksin Covid-19 ke negara ini,” katanya.

Pesawat MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.07 pagi dari Singapura.

Penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu yang dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dihiasi “livery” Jalur Gemilang ketika membawa vaksin Covid-19 untuk Malaysia itu. – Bernama

Google ads
Back to top button