Buletin

KAWASAKI PERKENALKAN KAWASAKI NINJA 500 DAN Z500 2024, JANA 45HP

Sempena EICMA 2023, Kawasaki tidak ketinggalan untuk memperkenalkan model baharunya iaitu Ninja 500 dan Z500 2024.

Kawasaki Ninja 500 dan Z500 2024 didatangkan dalam dua varian iaitu versi standard serta Special Edition (SE).

Tampil futuristik dengan rekaan baharu, kedua-dua jentera dikuasakan oleh enjin 451cc 2 silinder sebaris berkembar dengan penyejukan cecair, menghasilkan 45hp dan tork 42Nm.

Untuk rekod, nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac slip & assist.

Motosikal ini mempunyai berat 171 kg untuk Ninja, 167 kg untuk Z500, ketinggian tempat duduk untuk kedua-duanya hanya 785mm, kapasiti tangki 14 liter manakala saiz tayar pula 110/70-17 inci di hadapan dan tayar belakang 150 /60-17 inci.

Z500 yang digayakan secara agresif dilengkapi dengan meter LCD sementara, Z500 SE pula tiba dengan livery khas serta tambahan meter TFT berwarna yang menyediakan keupayaan untuk mengakses maklumat melalui Kawasaki Rideology versi terkini.

Bagi Ninja 500 baharu pula, versi standard dimuatkan bersama panel meter menggunakan model LCD digital manakala untuk jenis SE menggunakan panel meter TFT berwarna yang boleh disambungkan ke telefon pintar serta mempunyai pengecas USB.

Perincian lain untuk SE termasuklah penghadang angin smoke, penutup tempat duduk belakang serta pelindung enjin serta sistem kunci pintar.

Setakat ini, Kawasaki bagaimanapun masih belum mendedahkan spesifikasi penuh yang bakal ditawarkan untuk kedua-dua jentera.

Google ads
Back to top button