Motosikal

TEMPAHAN KAWASAKI ZX-25R KINI DIBUKA. 2 VARIAN, LANCAR SEPTEMBER 2023! 

Kepada semua yang sabar menanti model sportbike Kawasaki ZX-25R, ini berita baik untuk anda semua. 

Ketua Pegawai Eksekutif EMOS, Roslan Roskan baru sahaja mengumumkan bahawa jentera tersebut akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan selewat-lewatnya pada September 2023.

Pengumuman tersebut dilbuat pada acara Modenas X Kawasaki Green Mania yang berlangsung hari ini di Gamuda Cove, Selangor. 

Jadi, tempahan sudah boleh dibuat di semua pengedar sah Kawasaki di seluruh negara mulai hari ini. 

Roslan memberitahu jentera berkenaan telah pun menjalani pelbagai ujian bagi mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Selain telah mendapat pengesahan daripada pasukan Kawasaki Jepun.

“Kami sudah ada stok di kilang, ia perlu melalui proses pengesahan dokumen dan pemeriksaan sebelum dilancarkan ke pasaran ini,” jelas Roslan. 

Motosikal itu akan ditawarkan dalam dua varian iaitu ZX-25R SE dan ZX-25RR. Difahamkan, model untuk pasaran tempatan bakal menggunakan enjin yang sama dengan Thailand dan merupakan versi terkini. 

ZX-25R Thailand dilengkapi enjin bersesaran 249.8cc DOHC dengan sistem penyejukkan cecair yang mampu menjana kuasa sekitar 45.3hp pada 15,500rpm dan tork 22Nm pada 12,500Nm. Enjin itu kemudian dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Manakala ZX-25R di pasaran Indonesia memiliki output lebih tinggi iaitu 51hp @ 15,500rpm dan tork 22.9Nm @ 14,500rpm bersama transmisi 6-kelajuan.

Oktober lalu, EMOS ada mempamerkan dua unit Kawasaki ZX-25R ABS SE versi Thailand pada acara GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

Apabila ditanya mengenai harga, Roslan memberitahu orang ramai boleh memiliki sebuah ZX-25R pada harga yang sangat berpatutan dan  pastinya akan sedikit mahal berbanding Ninja 250. 

Sebagai rujukan, ZX25R ditawarkan pada harga Rp96 juta (RM28,400) di Indonesia.

Google ads
Back to top button