
KEJADIAN CEMAS DI LEBUHRAYA PERSEKUTUAN: KAIN RENTANG IKLAN TIMPA KERETA
“Nyawa bukan murah.” Itu luahan warganet yang kecewa dan gusar susulan satu insiden membahayakan nyawa di Lebuhraya Persekutuan apabila sehelai kain rentang bersaiz besar dari papan iklan jatuh lalu menimpa sebuah kereta yang sedang melalui kawasan berkenaan.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan detik mencemaskan itu berlaku pada petang Isnin, dipercayai berpunca daripada angin kuat hingga menyebabkan kain berkenaan tercabut sebelum terjatuh ke atas laluan trafik sibuk tersebut.
Apa yang lebih membimbangkan, kelihatan sebuah lori berwarna kuning berada betul-betul di bawah struktur papan iklan itu, menimbulkan persoalan sama ada kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan ketika insiden berlaku.
Walaupun durasi rakaman hanya enam saat, ia cukup untuk menunjukkan keadaan cemas apabila beberapa kenderaan berhenti mengejut, dengan sebuah daripadanya malang ditimpa kain rentang besar itu.
Tiada laporan rasmi kemalangan diterima setakat ini, namun kebimbangan terhadap keselamatan awam semakin membuak.
Kejadian itu turut mengundang kemarahan netizen, yang rata-rata menuntut agar pihak bertanggungjawab, sama ada pengiklan, agensi pengiklanan mahupun kontraktor penyelenggaraan dikenakan tindakan tegas.
“Tak kiralah rosak atau tidak, pemilik kenderaan tetap berhak tuntut ganti rugi. Mana boleh dibiarkan begini saja,” tulis seorang pengguna Facebook, Ahmad Fauzi.
Seorang lagi pengguna Facebook, menyarankan agar mangsa mengambil tindakan undang-undang: “Kalau kita langgar harta orang, kena bayar. Jadi bila kita pula jadi mangsa, kita pun berhak tuntut hak kita.”
Sementara itu, pengguna bernama Maya menyifatkan kejadian itu sebagai bukti kecuaian: “Kontraktor atau syarikat iklan kena bertanggungjawab. Jangan tunggu sampai ada korban baru nak bertindak.”
Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam industri pengiklanan luar agar lebih teliti dalam aspek keselamatan.
Apa sahaja struktur yang dipasang di kawasan awam, terutama berhampiran lebuh raya perlu memenuhi standard keselamatan tertinggi bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa. – Majoriti
- BACA: BENTLEY EXP 15 – BAYANGAN MODEL KONSEP MASA HADAPAN DARIPADA MODEL LAGENDA
- BACA: KUMPULAN PENGAYUH BASIKAL HALANG LALUAN BAS DICARI
- BACA: TIADA LAGI SPEEDHUNTERS?: APA YANG TERJADI KEPADA LAMAN KULTUS PEMINAT KERETA?
- BACA: MG CYBERSTER RWD DIPERKENALKAN – JARAK GERAK 508KM, HARGA BERMULA RM299K







