Motosikal

KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS 2023 – SOKONGAN 20 TAHUN PETRONAS TERHADAP ARENA PERMOTORAN NEGARA

Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS pusingan kedua yang diadakan di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan baharu sahaja melabuhkan tirainya pada hari Ahad lalu. Ia menyaksikan persaingan yang cukup sengit di antara pelumba-pelumba yang bersaing dalam tiga kategori utama iaitu CP150, CP125 dan Wira KBS.

Aksi kali ini juga menyaksikan ulangtahun penglibatan 20 tahun PETRONAS dalam menyokong perkembangan arena permotoran tanah air khususnya Cub Prix.

Perlumbaan Cub Prix bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat-bakat pelumba baharu, malah memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya komuniti peminat sukan permotoran.

Kejuaraan itu juga membantu merancakkan ekonomi setempat dengan memberi peluang kepada peniaga-peniaga tempatan mengadakan jualan di lokasi-lokasi perlumbaan.

Bertemakan PETRONAS Cub Prix Malaysia – 20 Tahun Melakar Impian, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan kepada pengunjung yang hadir ke perlumbaan di Litar Seri Jempol kali ini. 

Selain aksi perlumbaan mendebarkan yang meriah dengan sorakan penonton memberi sokongan kepada wira-wira mereka, perlumbaan juga diharap dapat membuka jalan untuk melahirkan lebih ramai bintang seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Kasma Daniel Kasmayudin dan ramai lagi. 

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik PETRONAS, Datin Anita Azrina Aziz yang mewakili PETRONAS menyatakan bahawa pihaknya begitu bangga dengan ulangtahun ke-20 kerjasama ini. Ia juga menjadi bukti dedikasi PETRONAS dalam memberi sokongan padu terhadap perlumbaan dua roda di Malaysia.

Dalam penganjuran kali ini, PETRONAS turut membawa kembali bekas pelumba Cub Prix iaitu Hafizh Shahrin yang kini berlumba dalam kejohanan superbike dunia dan rakan sepasukannya Adam Norroddin untuk memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba muda serta pengunjung yang hadir.

Hafizh dalam ucapannya berharap pelumba-pelumba muda akan dapat memberikan yang terbaik dan satu hari nanti menjadi pengganti beliau serta mungkin dengan pencapaian yang lebih baik. Apatah lagi dengan sokongan yang diberikan oleh PETRONAS selaku penaja utama.

CP150

Kategori ini menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya memenangi perlumbaan CP150 dengan catatan masa 14 minit 53.692 saat.

Tempat kedua milik Md Akid Aziz dari PETRONAS Sprinta Yamaha – C-K-J Racing dan akhir sekali di atas podium ialah Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team.

CP125

Kategori CP125 menyaksikan pasukan Jetron Yamaha Y-Y Pang Racing Team membolot tempat pertama dan kedua melalui pelumba-pelumba mereka iaitu Md Khairi Asyraf Mahmood dan Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam.

Tempat ketiga podium pula dimiliki oleh Adie Putra Sukarno dari Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

WIRA KBS

Juara Wira KBS jatuh kepada Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing. Beliau diikuti oleh Adib Hareez Azwat dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing di tempat kedua dan terakhir Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazal dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing.

GALERI

Google ads
Back to top button