Motosikal

APRILIA TUONO 660 KINI MENDARAT DI MALAYSIA. SISTEM APRC, RM77,900 SEUNIT

Didi Resources baru-baru ini melancarkan Aprilia Tuono 660 ke pasaran tempatan. Menjadi versi lebih kecil kepada Tuono V4, jentera itu menjanjikan tunggangan yang lincah dan sporty.

Apa yang lebih menarik, anda boleh mengharapkan imbangan kuasa dan berat yang terbaik. Terima kasih kepada seni bina chasis dan pakej kawalan elektronik yang diambil terus daripada Tuono V4. 

Tuono 660 dikuasakan oleh enjin parallel-twin bersesaran 660cc yang mampu menjana 100hp dan tork 66Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan. 

Jentera sport naked itu memiliki gayaan agresif dan cukup aerodinamik. Ini dapat dilihat dengan jelas menerusi fairing berkembar, lampu utama dan sepasang lampu nyalaan siang (DRL) LED.  Tuono 660 ringan kerana ia dibina dengan kerangka dan lengan ayun yang diperbuat daripada tempaan aluminium. 

Aspek pengendalian dimantapkan lagi dengan penggunaan sistem suspensi daripada Kayaba. Bar hendal yang lebih tinggi membezakannya daripada RS660, sekali gus memberikan kawalan terbaik kepada penunggang. 

Tuono 660 dilengkapi sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire. Kawalan elektronik APRC pula terdiri daripada kawalan cengkaman pelbagai tahap, kawalan anti-wheelie, kawalan jelajah, brek enjin dan beberapa pemetaan enjin. Tidak ketinggalan sistem brek anti kunci (ABS). 

Semua kawalan elektronik itu boleh dibuat menerusi intrumentasi TFT berwarna. Penunggang juga boleh memilih lima mode tunggangan mengikut kesesuaian. 

Jentera yang idaman ramai tersebut hadir dalam warna hitam dan ditawarkan pada harga RM77,900 seunit. 

GALERI

Google ads
Back to top button