
KEMASKINI STRATEGI ELEKTRIFIKASI, NISSAN UMUM 19 BUAH EV BAHARU MENJELANG 2030
Nissan sebelum ini telah mendedahkan perancangan strategi Nissan Ambition 2030 di mana mereka akan melancarkan 23 buah kereta berelektrik dan 15 buah kenderaan elektrik penuh menjelang tahun 2030.
Kini, melihatkan kepada keperluan dan permintaan pasaran yang semakin meningkat, Nissan mahu menghasilkan sehingga 19 buah kenderaan elektrik baharu dan 27 buah kereta berelektrik menjelang tahun fiskal 2030.
Dalam portfolio globalnya, Nissan mahu mencapai sekurang-kurangnya 55 peratus model hibrid dan EV daripada dua jenama (Nissan & Infiniti).

Di pasaran Eropah, Nissan mahukan sehingga 98 peratus daripada jumlah jualan pada tahun 2026 terdiri daripada kenderaan berelektrik, dan sehingga 40 peratus kenderaan sifar emisi di Amerika Syarikat pada tahun yang sama.
Nissan yang merupakan sebahagian daripada pakatan Nissan-Renault-Mitsubishi mengumumkan pelaburan bernilai $25 bilion bagi membangunkan lebih daripada 35 buah model elektrik menjelang akhir dekad ini.
Lebih 90 peratus daripada model baharu itu akan dibangunkan menggunakan platform CMF-AEV, KEI-EV, LCV-EV, CMF-EV dan CMF-BEV.

Mereka juga berhasrat untuk mengurangkan kos bateri sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2026 dan sehingga 65 peratus menjelang tahun 2028.






