Buletin

TOYOTA GAZOO RACING MAI PENANG MINGGU DEPAN BAK HANGGG!!!

Pulau Pinang akan menjadi medan persaingan bagi Pusingan Ketiga Toyota Gazoo Racing Festival yang bakal menyaksikan pelumba dari tiga kategori Vios Challenge akan berentap di litar yang mencabar dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka di dalam kejuaraan berkenaan.

Perlumbaan di Stadium Batu Kawan pada 15-16 Februari 2020 nanti adalah sangat kritikal dalam menentukan kejuaraan di dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional.

Ia merupakan perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April.

Dua perlumbaan pertama Musim 3 telah diadakan di litar jalanan Kuala Terengganu dan Bandar Malaysia.

“Perlumbaan di Pulau Pinang sangat penting sebagai penentu bagi pelumba musim ini. Bagi sesetengahnya, ini adalah peluang terakhir untuk memanfaatkan pengalaman mereka berlumba di litar jalanan dan berharap dapat mengungguli cabaran sekaligus mendahului kejuaraan.

Bagi yang lain pula, ia merupakan medan sengit di laluan sempit untuk terus menyalakan api persaingan mereka sebagai bekal ke pusingan terakhir di dalam litar kekal nanti,” ujar Ketua Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

Di dalam kelas Super Sporting untuk pelumba profesional, Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley ketika ini menjadi pendahulu dengan 36 mata, hanya berbeza lapan mata daripada pelumba Laser Motor, Mark Darwin dan diikuti oleh Kenny Lee dengan satu mata di belakang.

“Seoronok untuk dapat mendahului kejuaraan, tetapi dengan empat lagi perlumbaan untuk musim ini, saya perlu pastikan untuk kekal fokus. Kami masih ada banyak peluang, dan pengalaman bersaing dalam Musim 1 serta menguruskan pasukan ketika Musim 2 sebelum ini telah mengajar saya bahawa juara untuk keseluruhan hampir selalunya ditentukan di dalam dua perlumbaan terakhir dalam musim berkenaan. Ia akan kekal
begitu kali ini,” ujar Tengku Djan.

Dengan seramai 17 pemandu yang akan berentap, saingan di dalam kategori Sporting pula tidak kalah sengit. S&D Tama Motorsport dan wartawan automotif Tom Goh sedang mendahului ketika ini dengan 28 mata, hanya dua mata di hadapan Haji Sutan Mustaffa Salihin yang membuat penampilan sulung dalam TGR. Satu mata di belakangnya pula ialah Adam Khalid dari pasukan Crestmax Motorsport, diikuti oleh seorang lagi pendatang baru dan pemandu muda TGR, Bradley Benedict Anthony dengan 22 mata.

Mendahului kategori Promotional untuk selebriti ketika ini ialah pengacara dan pelawak televisyen, Nabil Ahmad yang memiliki kelebihan empat mata di hadapan juara Musim 1 shawn Lee dengan 28 mata. Penyanyi Khai Bahar pula menduduki tempat ketiga.

Keseluruhannya terdapat 10 selebriti tempatan akan memanaskan grid termasuk Diana Danielle, Janna Nick, Shukri Yahaya, Nabila Razali, Wany Hasrita, Ain Edruce dan Syafiq Kyle

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, TGR Festival kembali lagi ke Pulau Pinang untuk musim ketiga berturut-turut dengan barisan aktiviti yang menarik untuk dihidangkan kepada pengunjung dan peminat sukan perlumbaan

“Keserononokan TGR Festival tidak hanya terhad kepada aksi-aksi di dalam litar sahaja, tetapi turut disumbangkan juga oleh banyak lagi aktiviti-aktiviti keluarga yang lain.

Antaranya ia akan menampilkan pameran barisan kenderaan terbaru Toyota, persembahan drift, cabaran perlumbaan simulator, permainan pentas, persembahan oleh selebriti, aktiviti-aktiviti promosi, cabutan bertuah, jualan cenderahati serta sesi bertemu peminat bersama selebriti-selebriti kategori Promotional. Turut akan dipamerkan ialah kereta GR Supra!”

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti sihat, TGR Festival turut akan membawakan acara larian di dalam litar serta sesi zumba pada hari Ahad. Pendaftaran adalah percuma dengan cenderahati akan diagihkan bagi 500 peserta terawal.

Turut dipamerkan nanti ialah kereta GR Supra bagi perlumbaan Super GT sempena dengan Kejuaraan Super GT pusingan Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bulan Julai nanti.

Tarikan lain yang turut disediakan ialah pameran sebuah model Toyota KE-10 1968 yang telah direstorasi selengkapnya, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi. Aktiviti kanak-kanak pula termasuk Pertandingan bey blade, jualan model kereta Hot Wheels serta pertandingan senapang Nerf.

TGR Festival ini akan berlangsung dari 9 pagi Sabtu (15 Februari 2020) hingga Ahad (16 Februari 2020). Masuk adalah percuma!

Tags
Google ads
Back to top button