
KENAPA KERETA ELEKTRIK TAK BOLEH DIPANDU TERLALU LAJU?
Jika anda perasan dan selalu membelek risalah kenderaan kereta elektrik, anda akan perasan bahawa meskipun kereta elektrik datang dengan kuasa yang tinggi dan tork yang mengalahkan enjin turbo namun kebanyakan kereta elektrik tidak boleh dipandu dengan terlalu laju.
Melainkan kereta elektrik tersebut dikategorikan sebagai hypercar atau supercar, amat jarang sekali kereta elektrik untuk kegunaan seharian boleh dipandu dengan halaju yang tinggi. Sebagai contoh sebuah SUV elektrik dengan 201 kuasa kuda dan 395Nm tork memiliki halaju tertinggi pada 167km/jam sahaja
Sedangkan secara kasar jika dibandingkan dengan kereta dengan enjin petrol, angka tersebut membolehkan kita memandu laju sehingga 200km/jam dengan mudah. Faktor-faktor berikut adalah sebab kenapa kereta elektrik datang dengan halaju terhad.
1. EV direka untuk penjimatan tenaga maksima dan menjaga ketahanan bateri, jadi kebanyakan kereta elektrik akan dihadkan kelajuannya bagi memastikan semua komponen seperti motor elektrik, bateri dan juga sistem elektronik tidak mengalami kepanasan melampau.
Haba yang terbebas akan meningkatkan suhu dan menjejaskan kualiti bateri dan menjadikannya lebih cepat merosot sebelum waktu yang sepatutnya. Buat masa sekarang semua pengeluar memberikan jaminan selama 8 tahun ataupun 160,000km.
Satu perkara yang perlu diambil kira lagi ialah kelajuan maksima RPM motor elektrik beroperasi. Sebagai contoh Tesla menggunakan motor elektrik yang dibalut dengan seramik karbon bagi mengelakkanya menjadi haus. Bagi memanjangkan jangka hayat motor elektrik, putaran maksima motor elektrik dihadkan pada 20,000 RPM dan kelajuan maksimum 260km/jam
2. Aspek keselamatan – kereta elektrik adalah sangat berat, dan memandu dengan laju dengan membawa beban yang berat disebabkan bateri akan menghasilkan momentum yang tinggi. Momentum ini akan menyebabkan brek kereta elektrik cepat haus jika selalu dipandu dengan laju
Jadi bagi tujuan keselamatan dan menjaga komponen brek, maka kereta elektrik akan dihadkan kelajuannya. Keadaan ini juga akan melindungi pengguna jalan raya yang lain serta mengelakkan kos pembaikan yang mahal pada pemilik
3. Kekangan pada sistem gear – bagi kereta dengan enjin, terdapat komponen gear yang diwujudkan bagi menggandakan tork yang terhasil oleh enjin. Bagi kereta elektrik, tork yang tinggi menjadikan gear tidak lagi relevan dan hampir semua EV menggunakan satu gear tunggal sahaja
Gear ini akan menghadkan kelajua kereta elektrik pada halaju yang sesuai untuk kegunaan seharian, bukannya berlumba di atas jalan raya. Walaupun gear ringkas ini bagus untuk pecutan, namun gear tunggal ini juga akan menghadkan kelajuan maksima kereta elektrik
Ada juga EV menggunakan sistem gear seperti Porsche Taycan, tapi ini menjadikannya lebih kompleks dan berat biarpun kewujudan gear menjadikan Taycan leboh efisyen dan lebih mahal.
4. Lagi laju, lagi kuat makan bateri – ia isu yang sama dihadapi oleh pengguna dengan enjin pembakaran dalam. Bagi mencapai halaju yang tinggi, selain dari isu aerodinamik adalah isu penggunaan tenaga yang tinggi bagi bergerak membelah angin pada halaju yang tinggi
Semakin tinggi halaju, semakin tinggi tenaga yang diperlukan. Apabila melepasi 100km/jam, rintangan udara perli diambil kira dan halaju adalah faktor yang paling penting digunakan untuk mengukur tenaga bagi melepasi rintangan udara. Dalam rumus aerodinamik, halaju biasa akan diberi kuasa dua
5. Faktor Tayar – jika kereta elektrik dipandu dengan agresif sepanjang masa, berat dan kuasa yang dihasilkan oleh motor elektrik mampu mempercepatkan kadar kehausan tayar dengan cepat. Cabaran yang dihadapi oleh pembuat tayar ialah tayar untuk EV perlu mencengkam dengan baik, menerima tork yang tinggi pada 0 RPM dan menampung berat kenderaan dengan bagus
Selain itu, ia perlu tahan lama serta berupaya beroperasi dengan senyap kerana kereta elektrik tiada komponen enjin yang menjadikannya bising. Ini menjadikan pergeseran antara tayar dengan permukaan jalan menghasilkan bunyi yang boleh mengganggu pemandu dan juga penumpang.
Sekiranya dipandu laju dengan kerap, tayar cepat haus dan perlu diganti dengan segera bagi mengelakkan daripada berlakunnya kemalangan sekiranya brek kecemasan digunakan. Jika anda biasa membeli tayar, harga tayar yang bagus semestinya tidak murah terutama tayar khas untuk kereta elektrik

