
KENAPA MALAYSIA DAPAT 3 PILIHAN ENJIN UNTUK HONDA HR-V 2022?
Berbanding negara di rantau Asia dan Ocenia, pengguna di Malaysia cukup bertuah kerana ditawarkan dengan tiga pilian enjin untuk model terbaharu Honda Malaysia, HR-V generasi baharu.
Sebagai perbandingan, Thailand hanya menerima varian hibrid e:HEV RS. Manakala Indonesia dan Filipina mendapat enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC aspirasi biasa (NA) dan 1.5 liter VTEC turbo.
Sedangkan di Malaysia, HR-V 2022 ditawar dengan enjin hibrid e-HEV, 1.5 liter NA dan 1.5 liter turbo. Terbaiklah!

Menurut Ketua Projek Honda HR-V generasi baharu, Yoshitomo Ihashi, pasukan pembangunan Honda sudah pun membuat keputusan untuk membangunkan tiga enjin tersebut.
“Harus tahu bahawa ketiga-tiga enjin itu bukanlah dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia semata-mata. Malah, penawaran semua enjin itu juga tidaklah sukar untuk dilaksanakan,” kata Ihashi.
Berdasarkan kepada strategi pemasaran dan usaha menjangkau audien pelanggan seluas mungkin, Honda Malaysia memutuskan untuk menawarkan ketiga-tiga enjin itu berdasarkan kepada permintaan pasaran.
Biarpun HR-V dipadankan dengan enjin yang sama seperti model lain, nisbah kotak gear CVT bagaimanapun telah dilaras semula. ECU juga ditala semula bagi 1.5 liter NA DOHC i-VTEC serta 1.5 liter VTEC turbo untuk memberi pemanduan yang lebih baik.

Bagi enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC, transmisi CVT sama dengan model City Hatchback. Sementara enjin 1.5 liter VTEC turbo menggunakan kotak gear yang sama seperti CR-V.
Honda HR-V mula diperkenalkan pada 2015 dan ia sangat popular dengan jualan sudah melebihi 109,700 unit.
Sebagai model generasi baharu, HR-V yang berkongsi platform dengan City Hatchback menerima penambahbaikan dari segi reka bentuk, pengendalian dan rangkaian kuasa.

Maka, tidak hairanlah kenapa HR-V generasi baharu mampu menawarkan konfigurasi tempat duduk belakang ‘Multi Utility Seat’ yang sama seperti City Hatchback.
Tempat duduk belakang ini juga lebih luas (bahagian lutut bertambah 35mm), ruang kaki (+35mm) dan kerusi boleh dicondongkan sehingga 2 darjah.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, HR-V 2022 mendapat sambutan yang sangat baik. Tempahannya sudah lebih 20,000 unit dengan tempoh menunggu mencecah 12 bulan! Bertabahlah semua…
- BACA: HONDA HR-V CATAT TEMPAHAN 20,000 UNIT. 20% VARIAN e:HEV RS. TEMPOH MENUNGGU 12 BULAN!
- BACA: HONDA HR-V 2022 RASMI DILANCARKAN. 4 VARIAN, HONDA SENSING STANDARD, BERMULA RM114,800
- BACA: PANDU UJI: HONDA HR-V RS 2022 DI THAILAND. DAH TAKDE APA KOMPLEN
- BACA: HONDA HR-V 2023 – HARGA DARI RM109K DI AMERIKA SYARIKAT
GALERI













