Buletin

HONDA HR-V 2023 – HARGA DARI RM109K DI AMERIKA SYARIKAT

Segmen crossover subkompak di Amerika Syarikat kini dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu – Honda HR-V 2023.

Perbezaan yang ketara antara HR-V versi Amerika dengan HR-V yang bakal kita dapat di tanah air, adalah dari segi platform.

HR-V 2023 dengan rekaan serba matang ini menggunakan asas daripada Honda Civic dan ia jauh lebih besar berbanding Honda HR-V pasaran global yang lahir dari platform supermini Jazz/Fit.

Ruang kargo adalah sebesar 691 liter, namun HR-V baharu ini tidak lagi didatangkan dengan ciri magic seat yang ada pada model terdahulu.

Dari segi kuasa, HR-V 2023 didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi 2.0 liter dengan kuasa setinggi 158 hp dan 187 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT, serta pacuan roda depan atau opsyen pacuan semua roda.

Tiada sebarang penawaran enjin 1.5 liter turbo atau hibrid pada model HR-V buat masa ini.

Namun begitu, HR-V memang banyak membawakan elemen daripada Honda Civic, seperti tetapan suspensi belakang multi-link, diikuti dengan susun atur papan pemuka dengan skrin digital 7 inci, skrin infotainmen 7 inci (opsyen 9 inci), sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta butang kawalan fizikal di bahagian tengah.

Harga jualan Honda HR-V bermula dari $24,895 (RM109,376).

Selain pasaran Amerika, Honda HR-V 2023 bakal ditawarkan di pasaran China dan juga Eropah dengan nama yang berbeza, iaitu ZR-V.

Google ads
Back to top button