Buletin

HONDA HR-V CATAT TEMPAHAN 20,000 UNIT. 20% VARIAN e:HEV RS. TEMPOH MENUNGGU 12 BULAN!

Sejak mula dilancarkan pada tahun 2015, HR-V memang menjadi antara model popular yang dipasarkan oleh Honda Malaysia. Buktinya, 109,700 unit HR-V telah terjual sehingga kini.

Momentum itu nampaknya bakal diteruskan dengan model generasi baharu yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima lebih 20,000 tempahan untuk HR-V.

Angka yang sangat menggalakkan itu membuatkan tempoh menunggu mencecah sehingga 12 bulan untuk varian tertentu.

“Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang baru buat Honda. Sebagai contoh, apabila HR-V serba baharu dilancarkan di Jepun, tempoh menunggu juga menjadi sangat lama. Perkara sama turut berlaku ke atas beberapa model baharu apabila saya bertugas di Pakistan sebelum ini,” kata Yoshimura.

Daripada 20,000 tempahan tersebut, 20 peratus adalah terdiri daripada varian paling tinggi iaitu hibrid e:HEV. Varian S yang dilengkapi enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC aspirasi biasa (NA) menyumbang lima peratus jualan, kurang sedikit daripada sasaran asal iaitu sebanyak 10 peratus.

Manakala baki tempahan diwakili oleh dua lagi varian iaitu 1.5 E dan V yang dikuasakan oleh enjin 1.5 turbo.   

Honda Malaysia bagaimanapun memaklumkan bahawa Julai akan menjadi tempoh penting dalam menentukan jumlah sebenar tempahan yang diterima.

Ini kerana ada segelintir pelanggan yang membuat tempahan berganda, dalam usaha mereka untuk mendapatkan kenderaan lebih cepat sebelum tempoh serahan pengecualian cukai yang telah dilanjutkan sehingga.

Julai juga akan menyaksikan kadar pembatalan tempahan daripada pelanggan (jika ada) dan Honda Malaysia boleh melihat trend yang sebenar.

Google ads
Back to top button