Artikel Pilihan

TEKSI INITIAL D UNTUK PENGUNJUNG BANDAR SHIBUKAWA – TAKUMI BUAT GRAB PULAK KE?

Sekarang ni memang zaman harga barang mahal jadi bisnes tofu saja mana cukup. Jadi si Takumi dan Bunta pun menjadikan kereta mereka sebagai teksi untuk cari makan. Okey yang ni kami tipu tapi teksi Initial D ini memang wujud di bandar Shibukawa, Gunma yang merupakan lokasi siri manga terkenal Jepun, Initial D.

Malah disebabkan populariti manga tersebut bandar Shibukawa sentiasa di kunjungi peminat Initial D saban tahun. Jadi untuk menarik perhatian lebih ramai pengunjung, mereka telah memperkenalkan teksi Initial D khusus untuk bersiar-siar di bandar Gunma.

Okey sebelum anda terlebih teruja, kami nak bagi tahu awal-awal yang teksi tersebut bukanlah dari model Toyota AE86 ataupun Mazda RX-7 FD tetapi ia dihiasi dengan liveri kereta Hachiroku Takumi dan Mazda RX-7 Keisuke Takahashi. Malah kereta yang digunakan ialah Nissan Cedric. Haih, ingatkan guna Toyota Crown ke?

Tapi jangan bimbang, terdapat 3 buah teksi sebenarnya yang menggunakan tema Initial D, dua buah Nissan Cedric yang menggunakan liveri AE86 dan RX-7 dan sebagai tambahan terdapat sebuah lagi Toyota Prius yang memaparkan gambar-gambar watak utama siri Initial D untuk pilihan anda.

Bukan itu sahaja, kalau anda menggunakan teksi ini dengan tambang melebihi ¥1000 (RM32.56), anda akan mendapat kad peringatan istimewa sebagai cenderahati kenangan.

Bijak tak cara yang digunakan oleh pihak bandaraya ini untuk menarik pelancong? Ini bukan kali pertama kerana pada tahun 2018 mereka pernah menggunakan cara yang sama cuma ketika itu mereka meletakkan penutup manhole yang dihiasi adegan siri Initial D di seluruh bandar. Kalau buat kat sini silap-silap hilang kena rembat.

Harapan anda untuk melakukan aksi drift di bandar kelahiran Takumi mungkin hampir mustahil untuk dilakukan (lagi pun korang pandai ke nak buat drift tanpa masuk longkang?) tapi untuk peminat Initial D lawatan ke Shibukawa mungkin sangat bermakna.

Soalan: Adakah pemandu-pemandu teksi ini akan memberikan pengalaman touge battle untuk penumpang? Jawapan daripada wakil syarikat teksi ialah mereka akan memandu dengan selamat tanpa aksi drift.

Amacam? Bandaraya metropolitan Mentakab tak nak buat teksi Mat Kilau ke?

Google ads
Back to top button