Artikel Pilihan

KENDERAAN 4X4 : IKTIBAR DARI KEMALANGAN. KENAPA MUDAH SANGAT TERBABAS?

1. Saya ingin berkongsikan sedikit pandangan kecil saya dari insiden yang berlaku melibatkan kenderaan 4×4 yang terbabas dan terbalik dari berberapa video yang dikongsi di dalam media sosial. Saya hanya melihat gambar kemalangan tersebut dari media sosial dan komen ini hanya berpaksikan kepada gambaran tersebut. Jika saya salah harap berikan teguran. Saya juga masih banyak yang perlu saya belajar

2. Tujuan penulisan ini bukan hendak menunding jadi dan mencari kesalahan atau sebab berlakunya kemalangan. Objektif perkongsian ini adalah sebagai peringatan buat diri saya sendiri serta pembaca agar sama-sama kita mendapat manfaat insyAllah. Saya yakin ramai pemandu yang lebih hebat dan berpengalaman di luar sana, cuma bila ada peluang saya cuba infaq sedikit ilmu untuk kebaikan.

3. Tiada prejudis buat mana-mana pemandu. Kita tidak tahu punca sebenar berlakunya kemalangan dan artikel kecil ini hanya untuk panduan sahaja.

4. Kenderaan yang hebat dengan sistem brek dan suspensi mahal bukanlah “lesen” untuk kita memandu laju di atas jalan raya. Ada yang beranggapan bahawa kenderaan “Pick up” atau ada yang panggil Truck atau 4×4 ini, boleh dipandu laju sebab mempunyai daya cengkaman yang kuat.

5. Dalam situasi “oversteer” iaitu tail-out bila kenderaan memasuki selekoh dengan laju dan nampak belakang atau ekor atau “tail” terkeluar. Keadaan biasa akan jadikan kereta terpusing atau spin tapi bila tayar depan terkena divider tapi kereta terbalik

6. Isu utama ialah “Weight transfer” iaitu apa bila kita membrek kita terasa badan kita semua ke hadapan.

Ini bermakna “weight transfer” ke hadapan yakni berat kendeaan akan “dibawa” ke hadapan dan dengan itu belakang akan jadi “ringan” dan anda boleh nampak the moment dia brek nampak kereta terhoyong hayang atau “unsettled” dan belakang jadi “tail happy” dan apabila sahaja ambil selekoh, kereta sekali lagi oversteer.

Kenapa berlaku sedemikian? Ini disebakan pemandu memandu dengan laju dan pemandu mengaplikasikan teknik membrek secara serta merta dan menyebabkan kenderaan “unbalanced” dan pemandu mungkin panik dan tidak dapat mengawal kenderaan.

7. Apabila membrek walaupun dalam keadaan emergency tidak boleh “nail the brake” atau terus “jammed” the brake. Perlu ada “modulation” untuk kita berikan effect “weight transfer” yang cepat dan jadikan kenderaan “unbalanced”. Ada pelbagai terma yang digunakan oleh pelbagai guru. Bagi saya, saya terjemahkan sebagai teknik “Brush and Bury”.

8. Apa yang berlaku dari kedua-dua insiden ini ialah soal fizik. Kita tidak boleh berlawan dengan hukum fizik. “We cannot defy the law of physics” sekalipun memandu kendeaan paling mahal atau tayar paling mahal.

9. Jangan sesekali kita “underestimate” kelajuan kenderaan dan “overestimate” keupayaan diri. Mungkin kebiasaan pemandu memandu kenderaan sedan/hatchback atau bukan 4×4 dan mereka beranggapan bahawa daya cengkaman serta sifat 4X4 juga sama.

Ada juga mentaliti mengatakan bahawa apabila aku pandu kenderaan 4×4 ini pasti cengkaman mantap dan walaupun hujan aku boleh laju. Bila sahaja hujan, kurangkan kelajuan kerana keadaan jalan di Malaysia yang berlubang dan tidak rata serta perihal pegairan air atas jalan yang kurang baik menyebabkan banyak lopak-lopak air atau “puddle”.

Jadi ini memberikan kebarangkalian wujud situasi “Aquaplanning” atau “Hydroplanning” dimana ada lapisan air antara permukaan jalan dan permukaan tayar menjadikan tayar begitu licin dan sukar mengawal kenderaan.

10. “Aku dah ada lesen dekat 10 tahun atau lebih 20 tahun, aku pernah masuk lumba, aku tahu sistem kereta aku, aku pernah itu ini, aku biasa bawa sports car, aku dah masuk kelas defensive driving, aku selalu masuk race.”. – Ini semua bukan lesen membolehkan kita pandu laju di jalan raya sewenang-wenangnya.

Kata-kata ini bukanlah satu validasi yang melayakkan kita memandu dengan laju.

11. Sikap diri, ego diri, adab pemanduan itu bukan berdasarkan berapa lama anda dapat lesen atau berapa mahal sistem kenderaan kita. Sikap ini perlu dibentuk dan jangan jadikan jalan raya untuk tempat nak “test power”, nak jadikan tempat nak suruh kawan rasa kereta yang baru ditala, nak test sistem brek dan sebagainya

12. Kita menekan minyak dengan laju dan akhirnya tahap brek anda itu tidak terlaksana dengan baik, bukan kerana brake pads itu salah tapi tahap ilmu pemandu dan sikap pemandu yang memilih lapangan yang salah untuk “test power”. Ini kerap kali berlaku.

13. Kenderaan 4×4 ini kegunaan utama di jalan yang off road atau tidak berturap sebab itu kenderaan tersebut mempunyai tahap ketinggian yang berbeza dengan kenderaan biasa. Jadi Pusat Graviti atau “Centre of Gravity” yang lebih tinggi akan mendorong kenderaan menjadi kurang stabil berbanding kenderaan yang lebih rendah CG. Analogi seperti orang yang berdiri dan orang yang duduk; yang berdiri mudah ditolak berbanding yang duduk.

14. Tingkatkan ilmu pemanduan dan ilmu pemanduan ini bukan sahaja skil fizikal mengawal kenderaan tetapi skil kematangan diri untuk mengawal emosi agar tidak mudah terpengaruh dengan “ajakan” kenderaan lain atau mudah teruja dengan kenderaan lain di atas jalan raya. Kematangan mengawal emosi juga ilmu pemanduan yang jarang diambil berat.

15. Sebelum memandu, elok berdoa dan bertawakkal. Buangkan rasa ego dijalan raya. Sekali lagi peringatan, jalan raya bukan tempat berlumba atau tempat nak pamerkan kelajuan kenderaan atau kemahiran pemandu kerana ia boleh mencederakan orang lain jika berlaku kemalangan.

16. Jika kita memandu kenderaan yang belum pernah kita pandu, dapatkan dahulu “feel” kenderaan itu, tahu keupayaan brek serta bagaimana response steering serta “behaviour” kenderaan tersebut. Elakkan terus nak uji “power” jika kita memandu uji kenderaan baru atau mana mana kenderaan yang belum pernah kita cuba sekalipun kenderaan rakan-rakan kerana “feedback” kenderaan itu mungkin diluar jangkaan kita dan diluar kemampuan skil kita.

17. Nasihat saya untuk diri sendiri dan pembaca, jangan sesekali kita rasanya kita tahu senua benda dan kita boleh kawal semua kenderaan. Elok fahami dahulu segala mekanisma kenderaan. Pun begitu, walaupun kita dah tahu, usah jadikan jalan raya awam tempat untuk menguji ego dan keinginan kita.

Saya harap agar sama-sama kita cuba pandu dengan lebih berhemah dan memikirkan pemandu dan penunggang lain di jalan raya. Jika anda ingin mendalami teknik pemanduan, insyAllah boleh hubungi TIC Advanced & Performance Driving Academy pada email azad@taj.edu.my

Azad Jasmi, 28 Februari 2022

Google ads
Back to top button