Buletin

KERAJAAN TERENGGANU CADANG BINA LITAR DI KEMAMAN

Dalam satu sidang media yang diadakan sewaktu acara Toyota Gazoo Racing sebentar tadi, Yang Berhormat Wan Shukairi Bin Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri memberitahu bahawa Kerajaan negeri Terengganu bercadang untuk membina satu litar perlumbaan di negeri tersebut.

Lokasi yang dipilih ialah di daerah Kemaman.

“Kerajaan negeri sambut baik cadangan kerajaan pusat menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk sasaran bina satu litar setiap negeri, Terengganu menyokong penuh cadangan ini dan sebenarnya kami sudahpun mengenalpasti lokasi sesuai untuk pembinaan litar tersebut,” ujar YB Wan Shukairi.

Menurut beliau lagi, meskipun sudah mempunyai litar (drag) di Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, kerajaan negeri menyokong sebarang usaha untuk menambah fasiliti sukan motor di negeri tersebut.

“Lokasi di Litar Gong Badak bagus namun kawasannya terhad. Lagipun ia terletak di kawasan kejiranan dan berdekatan kawasan perumahan yang akan mengganggu sedikit sebanyak penduduk sekitar.

“Kami telah mengenalpasti lokasi yang strategik di Kemaman yang terletak jauh dari kawasan penempatan. Kawasan tersebut telahpun digazetkan dan Kerajaan Negeri sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentang bersama dengan KBS.”

Kos pembinaan litar tersebut difahamkan akan ditanggung KBS dan untuk rekod, Litar Gong Badak di Kuala Terengganu sekarang dibina sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu.

Google ads
Back to top button