Buletin

LITAR KERETA POWER BAKAL DIBINA DI BUKIT MALUT LANGKAWI

Pulau Langkawi bakal memiliki sebuah litar kereta prestasi tinggi bertaraf antarabangsa yang akan dibangunkan di kawasan Bukit Malut.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembinaan litar kereta tersebut adalah hasil kerjasama antara pemilik tanah tersebut iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan sebuah syarikat swasta.

Beliau memberitahu, litar kereta tersebut hanya digunakan oleh kereta berkuasa tinggi yang terdapat di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan litar tersebut tidak melibatkan kawasan penempatan rumah-rumah haram yang diduduki warga Myanmar di Bukit Malut.

“Di Langkawi ada kira-kira 1,600 kereta berkuasa tinggi dengan pemiliknya mendapat pengecualian cukai apabila membeli kereta tersebut di sana.

“Walaupun memiliki kereta hebat, tetapi mereka tak boleh ke mana-mana kerana kereta itu tidak boleh dibawa keluar ke tanah besar kecuali dengan kebenaran agensi tertentu dan kebenarannya pula hanya untuk tempoh beberapa bulan.

“Dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, kita sediakan satu litar untuk pemilik kenderaan berprestasi tinggi ini gunakan bagi menikmati kehebatan kenderaan mereka dengan bayaran tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi tidak menyatakan anggaran kos pembinaan litar kereta tersebut. -Utusan

Google ads
Back to top button