Buletin

KERAJAAN TIDAK BATAL PERINTAH HARGA SILING PETROL DAN DIESEL. OK, BOLEH BERTENANG SEKARANG

Jangan membuat kenyataan yang mengelirukan berhubung perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan tidak membatalkan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel seperti yang dilaporkan.

“Tidak, tidak … jangan salah faham. Kami tidak menarik balik harga siling itu, dasar itu masih sama,” katanya. 

Beliau mengulas laporan media yang menyatakan kerajaan Persekutuan sudah membatalkan perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel melalui Warta Kerajaan bertarikh 3 Jun lepas.

Berdasarkan Warta Kerajaan itu, Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dibuat Pengawal Harga Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad pada 10 April lepas dengan kelulusan Nanta.

Dalam pada itu, Nanta dalam kenyataan media selepas itu berkata penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui mekanisme harga automatik  (APM).

Ia dipengaruhi harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia. 

“Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. 

“Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata mulai 29 Feb lepas, KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Perubahan mekanisme itu bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa. – Bernama

Google ads
Back to top button