KEJATUHAN TERUK HARGA MINYAK DUNIA, ARAB SAUDI ‘MENANG’. INI SEBABNYA…
Arab Saudi dilihat berada dalam posisi terbaik untuk menyerap impak kejatuhan harga minyak Amerika Syarikat (AS) jelas penganalisa tenaga baru-baru ini.
Selasa lalu, harga minyak AS jatuh ke paras sifar kepada -AS$37.65 setong buat pertama kali dalam sejarah. Situasi itu menyaksikan pelabur perlu membayar pembeli untuk mengambil penghantaran minyak mentah.
Ia hadir ketika pasaran dibanjiri oleh minyak mentah dan ruang penyimpanan semakin kurang berikutan krisis COVID-19 menyebabkan permintaan terhadap bahan api di seluruh dunia terus merudum.
“Arab Saudi dan Rusia menang dalam perang harga minyak ini. Tetapi ia tetap menjadi satu perang yang sangat merugikan. Riyadh dan Moscow sudah lama memantau output minyak shale AS.
“Namun, mereka perlu berhati-hati kerana harga minyak Brent pun tidak jauh berbeza dan dunia semakin kurang ruang untuk menyimpannya,” kata Ketua Global Harga Komoditi dari S&P Global Platts, Dave Ernsberger.
COVID-19 menyebabkan hampir semua negara di seluruh dunia terpaksa melaksanakan perintah kuarantin. Langkah itu mencetuskan kejutan permintaan yang ekstrem ke atas pasaran tenaga dan mengakibatkan ruang penyimpanan bahan api di laut dan darat semakin terhad.
Keadaan di AS dilihat lebih teruk apabila kemudahan penyimpanan terutama di Cushing, Oklahoma dijangka penuh dalam masa beberapa minggu lagi. “Kami jangkakan inventori di dunia akan ‘melimpah’ pada hujung Mei atau awal Jun.”
Ernsberger juga memberi amaran kepada Arab Saudi dan Rusia supaya cepat berhenti meraikan ‘kemenangan mereka’.
Awal bulan lalu, pakatan negara pengeluar minyak OPEC yang diketuai oleh Arab Saudi dan bukan ahli OPEC, Rusia yang kadang-kala dirujuk sebagai OPEC+ bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran 9.7 juta tong sehari bermula 1 Mei.
Ini merupakan pengurangan paling besar pernah dilakukan. Namun penganalisa masih beranggapan usaha itu tidak dapat mengatasi masalah lebihan bekalan atau oversupply.
“Apa pun, Arab Saudi jelas jadi pemenangnya. Ini kerana mereka berjaya keluar daripada kemelut ini dengan menjual minyak ketika permintaan masih wujud dan kemudian menarik balik dalam usaha pemotongan pengeluaran minyak terkini mereka. Kami lihat ia sebagai satu perjanjian yang lemah,” kata Ketua Penyelidikan Ekuiti Minyak & Gas EMEA di J.P Morgan, Christian Malek.
Malek turut menyifatkan satu-satunya jalan keluar untuk pasaran minyak adalah OPEC+ perlu berunding mengenai pengurangan output yang lebih tinggi. Riyadh patut mempertimbangkan tahap pengeluaran serendah 6 juta tong sehari.
Mesyuarat OPEC+ dijadual diadakan 10 Jun depan.
“Saya fikir, situasinya adalah seperti ini. Arab Saudi sedar bahawa mereka memiliki satu kitaran besar tidak lama lagi. Mereka mahu pastikan posisi itu, tetapi pada masa yang sama Arab Saudi mempunyai hubungan penting dengan AS, terutamanya Trump.
“Saya tidak fikir hubungan rapat itu menjadi faktor kritikal dalam rundingan kali ini. Saya rasa Arab Saudi akan berunding. Tetapi jika rundingan tidak berjaya dan Trump tidak dipilih sebagai Presiden AS sekali lagi, Arab Saudi akan menang dalam perang minyak ini,” kata Malek. – CNBC kredit foto: Arabnews
- BACA: HARGA MINYAK AS JATUH DI BAWAH PARAS SIFAR, PERTAMA KALI DALAM SEJARAH
- BACA: JEPUN SEDIA PAKEJ RM9.6 BILION BANTU FIRMA PINDAH DARI CHINA. SYARIKAT EROPAH & AS PUN MAHU KELUAR JUGA
- BACA: PAM MINYAK MUNGKIN KERING SELEPAS PKP. KERAJAAN WAJAR HENTIKAN SEMENTARA PENETAPAN HARGA MINGGUAN – PDAM
- BACA: JERMAN HANTAR BIL ‘KERUGIAN AKIBAT KORONAVIRUS’ BERJUMLAH RM710 BILION KEPADA CHINA