Buletin

KERETA KEBAL BUATAN SENDIRI KARTEL DADAH DIMUSNAHKAN

Sebanyak 23 buah ‘kereta kebal dadah’ dimusnahkan oleh Pejabat Peguam Negara Mexico (FGR) Ahad lalu selepas dirampas antara bulan Mac hingga Jun tahun ini, lapor akhbar Daily Star.

FGR memuat naik satu rakaman video dan  gambar menunjukkan kerja-kerja pemusnahan tersebut di laman Twitter, namun tidak mendedahkan nama kumpulan penjenayah yang terlibat. Logo pada kenderaan-kenderaan tersebut turut dikaburkan.

Beberapa pihak meneka kereta-kereta kebal itu mungkin milik kumpulan penjenayah terancang, Cartel del Noreste yang turut dikenali sebagai Kartel Timur Laut.

Diasaskan pada 2014, kumpulan  itu dikenali dalam jenayah penyeludupan dadah dan manusia. Kartel dadah tersebut turut terlibat dalam jenayah penculikan, peras ugut serta kegiatan haram lain. 

Kereta kebal dadah adalah kenderaan perisai buatan sendiri yang berfungsi sama seperti kereta kebal konvensional. Kenderaan itu bertindak sebagai perlindungan mudah alih ketika kartel dadah bertempur. 

Namun, menurut tentera Mexico, kenderaan itu sukar bergerak di kawasan-kawasan bandar yang sempit  atau di atas tanah lembut dan berpasir.

Kereta kebal dadah itu juga digunakan sebagai alat untuk menakut-nakutkan musuh. Jentera ini kerap dipaparkan alam gambar dan klip video oleh anggota kartel dadah. – Agensi 

Google ads
Back to top button