
KERETA KEBAL BUFFALO LVT-4 TERTANAM SELAMA 74 TAHUN. MASIH DALAM KEADAAN BAIK
Sekumpulan sukarelawan berjaya membawa keluar sebuah kereta kebal era Perang Dunia Kedua yang tertanam pada kedalaman 9.1 meter dalam tanah di Cambridgeshire Fens, United Kingdom.
Menurut laporan DailyMail, kereta kebal Buffalo LVT-4 sepanjang 7.9 meter dengan berat mencecah 20 tan itu merupakan satu daripada 16 aset tentera yang digunakan untuk menahan banjir di perkampungan Crowland pada 1947.
Ia dipercayai sudah tertanam selama 74 tahun, namun keadaannya masih dalam keadaan baik ketika dibawa keluar oleh para sukarelawan terbabit.

Pengerusi Crowland Buffalo LVT, Daniel Abbott berkata, pasukannya melakukan penggalian menggunakan jentera berat dan ada kalanya terpaksa menggunakan tangan bagi mengeluarkan kereta kebal tersebut.
“Kami menghabiskan masa selama lima hari untuk menemukan kereta kebal itu dan berasa sangat gembira selepas ia berjaya dibawa keluar.

“Kami berharap kereta kebal itu boleh dijadikan muzium untuk tatapan semua generasi,” katanya.
Banjir yang berlaku di Crowland menyebabkan kira-kira 12,140 hektar tanah terjejas termasuk pertanian. – agensi