Artikel Pilihan

KERETA KOMPAK SEGMEN B. CITY HATCHBACK VS YARIS VS MAZDA 2

Pasaran kereta kompak pada tahun 2021 akan melihat Honda cuba mengekalkan pasaran jenama Honda dengan memperkenalkan Honda City Hatchback. Model ini bakal bersaing dengan Toyota Yaris dan juga Mazda 2 Hatchback bagi kategori kereta kompak segmen B premium. Perodua Myvi dan Proton Iriz juga berada dalam kategori segmen B kompak, namun pada harga mampu milik.

Kali ini kita akan bandingkan 3 kereta kompak yang berada dalam julat harga yang sedikit premium iaitu Honda City Hatchback yang bakal dilancarkan nanti, Toyota Yaris dan Mazda 2 Hatchback. 3 model ini berada dalam julat harga yang jauh lebih mahal berbanding dengan Perodua Myvi dan juga Proton Iriz. Berdasarkan pengalaman penulis dengan semua model (kecuali Honda City Hatchback), ia menawarkan kualiti pemanduan yang lebih baik.

Dimensi

Dari segi angka, Honda City Hatchback menawarkan saiz yang besar dengan 4345mm panjang, 1748mm lebar dan tinggi 1488mm. City Hatchback juga menawarkan jarak antara roda yang paling besar dalam kelasnya iaitu pada 2589mm namun kami tidak menjumpai mana-mana data berkenaan saiz ruang kargoyang ditawarkan. Sebagai perbandingan Yaris menawarkan 286 liter ruang kargo

Enjin dan Transmisi

Semua model di atas ditawarkan dengan enjin 1500cc 4 silinder tapi berbeza dari segi teknologi yang ditawarkan. Pada jangkaan kami, City Hatchback akan ditawarkan dengan enjin sama dengan City sedan yang menghasilkan 119 kuasa kuda dan 145Nm tork. Walaupun City Hatchback paling berkuasa, Mazda 2 sebenarnya paling ringan dalam kelas ini dengan berat sekitar 1114kg sahaja menjadikan pengendalian Mazda2 paling tangkas

Dengan 114 kuasa kuda dan 149Nm tork yang dihasilkan oleh enjin SkyActiv serta padanan transmisi 6 kelajuan automatik, pecutan yang dibuat Mazda 2 amat terasa. Anda boleh memecut dari 120-180 dalam beberapa saat sahaja meninggalkan Myvi yang cuba mengejar dari belakang. Yaris pula dengan padanan enjin dual VVT-i dan transmisi CVT bukanlah direka untuk prestasi, namun jika anda berhemah dengan memandu angka 20km/l memang boleh dicapai (telah diuji oleh penulis)

Pengendalian

Dah nama kereta kompak, semua model ini dilengkapi dengan suspensi Topang McPherson di bahagian depan dan Torsion beam di bahagian belakang. Yaris dan Mazda 2 menggunakan brek cakera di bahagian belakang manakala mengikit ramalan kami Honda akan menggunakan brek drum pada bahagian belakang. Semua model menggunakan rim 16 namun Yaris menggunakan tayar paling lebar 195mm dan paling nipis 55%.

Keselamatan

Dalam aspek ini, Yaris jauh meninggalkan pesaingnya baik Mazda 2 (2 beg udara sahaja) dan juga City Hatchback. Yaris dilengkapkan dengan 7 beg udara, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan belakang, Lane Departure Alert, sistem amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran. City Hatchback mungkin akan hadir dengan Honda Lane Watch manakala Mazda menawarkan G Vectoring Control.

Nak beli mana satu?

Jika anda sedang mencari kompak segmen B yang lengkap dengan aspek keselamatan paling canggih, maka Toyota Yaris adalah pilihan yang tepat. Namun dengan kuasa sekitar 105 kuasa kuda serta penggunaan CVT, ia tidaklah mengujakan sangat melainkan anda memilih GR Yaris yang berharga sekitar RM 290,00.

Jika banyak memandu berseorangan dan perlukan sebuah model kecil yang sporti dan mengujakan, Mazda 2 merupakan pilihan paling tepat. Namun kelemahan utama Mazda 2 ialah faktor ruang walaupun ditawarkan dengan enjin SkyActiv dan transmisi 6 kelajuan automatik yang lincah. Namun dengan harga menjangkau RM 104,000 ramai yang terfikir untuk terus membuat pilihan model segmen C dari jenama lain

City Hatchback pula sebenarnya dibina di atas platform Honda City / Jazz generasi sebelum ini, dipadankan dengan enjin baru iVTEC DOHC yang menghasilkan 119 kuasa kuda. Pengalaman penulis dengan CVT yang dihasilkan oleh Honda cukup memuaskan, lasak dan jika diperah memang mampu mencapai 190km/j. Pada hemat kami, harga yang ditawarkan nanti tidak jauh berbeza dengan Honda Jazz dan Yaris sekarang.

Kalau mahal sangat, susah nak dapat pembeli.

Google ads
Back to top button