
KERETA MAMPU MILIK, CEKAP BAHAN API JADI TUMPUAN PEMBELI TAHUN DEPAN
Kenanga Investment Bank menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) pasaran automotif Malaysia sebanyak 805,000 unit pada 2025, sedikit peningkatan daripada anggaran 800,000 unit pada tahun ini.
Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata jangkaan itu disokong oleh beberapa faktor utama termasuk dorongan dari segi jumlah segmen mampu milik seperti baki pesanan sihat kenderaan PERODUA yang kekal melebihi 90,000 unit, walaupun terdapat penghantaran bulanan yang stabil.
“Pelancaran baharu yang menarik sebagai pengganti model generasi lama, trend beralih ke model lebih murah oleh pembeli segmen pertengahan berikutan rasionalisasi subsidi bahan api terutamanya ke arah kenderaan yang cekap bahan api seperti kenderaan hibrid seperti Toyota Corolla Cross, kenderaan elektrik bateri (BEV) seperti BYD Seal, dan kenderaan cekap tenaga (EEV) seperti Perodua Axia.
“Selain itu, peningkatan bahagian pasaran kenderaan jenama China melalui program pemindahan pengeluaran tempatan, seperti jenama Jaecoo dan Chery dari kilang pemasangan Chery di Shah Alam, serta jenama GWM dan BAIC dari kilang pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Wan Mustaqim berkata, permintaan terhadap pasaran kereta dalam segmen mampu milik adalah seperti biasa kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan B40 dan lapisan bawah kumpulan M40, tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.
Menurutnya, Kenanga Investment Bank juga menjangkakan penangguhan sekali lagi peraturan duti eksais baharu, yang boleh menyebabkan harga kenderaan yang dipasang secara tempatan (CKD) meningkat sebanyak lapan hingga 20 peratus.
Katanya, pengumuman rasmi mengenai penangguhan mungkin akan dibuat bagi mengelakkan kenaikan mendadak inflasi, memandangkan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dijangka dilaksana pada Jun 2025.
“Selain itu, kenaikan pendapatan isi rumah juga dijangka akan disokong oleh kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember 2024, peningkatan gaji minimum mulai Januari 2025, dan pasaran buruh yang stabil.
“Pasukan penyelidikan ekonomi kami meramalkan kadar pengangguran pada 3.2 peratus pada 2025 berbanding 3.3 peratus dalam tahun ini, yang boleh mengekalkan permintaan terhadap kenderaan untuk tahun memecah rekod yang seterusnya.
“Bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh diperkatakan untuk segmen premium kerana pelanggan sasarannya, iaitu lapisan atas kumpulan M40 dan kumpulan T15, mungkin menangguhkan pembelian kereta baharu, dengan memilih kereta lebih kecil, atau beralih kepada hibrid dan EV untuk mengurangkan bil bahan api mereka selepas pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya.
Beliau menambah, Kenangan Investment Bank juga menjangkakan semakan pertengahan penggal Dasar Automotif Negara (NAP) akan memasukkan kenderaan hibrid sebagai elemen peralihan utama untuk mencapai sasaran nasional bagi kenderaan elektrik dan hibrid sebanyak 15 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.
Dalam perkembangan lain, Wan Mustaqim berkata jualan kenderaan juga akan disokong oleh pelancaran BEV baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta insentif kemudahan EV lain sehingga tahun depan bagi model yang diimport sepenuhnya (CBU) dan 2027 bagi CKD.
“Pendaftaran baharu BEV melonjak daripada 274 unit pada tahun 2021 kepada lebih 3,400 unit pada tahun 2022, 10,159 unit pada tahun 2023, dan hampir 16,000 unit bagi sembilan bulan pertama tahun ini, yang bersamaan dengan tiga peratus daripada TIV.
“Kami menjangkakan lebih banyak insentif yang menggalakkan daripada kerajaan, yang menetapkan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada TIV menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.
“Sementara itu, kerajaan akan mempercepatkan kelulusan bagi stesen pengecasan. Bilangan cadangan stesen pengecasan kini berjumlah 4,235 (3,354 telah dibina sehingga kini) dan dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada 10,000 stesen menjelang akhir 2025,” katanya. – BH Online
- BACA: PUSPAKOM BERI KERJASAMA PENUH KEPADA JPJ DALAM OPS GEMPUR DI SEMUA PUSAT PEMERIKSAAN
- BACA: JUALAN TURUN DRASTIK, HOZON AUTO BUANG 400 PEKERJA DI THAILAND
- BACA: JPJ SERBU PUSPAKOM, KELUAR 69 NOTIS SAMAN
- BACA: SKODA 1100 OHC COUPE – MODEL KERETA LUMBA SPORT YANG DIBUAT SEMULA OLEH PEKERJA MUZIUM SKODA