Buletin

KERETA TERBAKAR DI LALUAN MOTOSIKAL – LELAKI MAUT, WANITA WARGA THAILAND CEDERA RINGAN

Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita warga Thailand cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di laluan motosikal Jalan Seputeh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.18 malam.

Pasukan operasi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dan BBP Pantai dengan kekuatan anggota seramai 17 pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta.

“Jenis dan nombor pendaftaran kereta tidak dapat dikenal pasti akibat kemusnahan kebakaran 100 peratus. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran (attacking).

“Seorang lelaki warga tempatan mengalami kecederaan teruk disahkan mati di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Tambahnya, manakala seorang wanita warga Thailand mengalami cedera ringan dan dirawat oleh anggota unit kecemasan.

“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota. Mangsa diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.” – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button