Buletin

KES CURI KERETA, POLIS TAHAN BEKAS BANDUAN

Dua lelaki termasuk seorang bekas banduan berjaya diberkas selepas tidak sampai empat jam mencuri sebuah kenderaan di Petaling Utama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Zolkifly berkata, laporan kehilangan kenderaan jenis Perodua Axia itu dibuat seorang wanita.

“Mangsa melaporkan kenderaan miliknya yang diletakkan di kawasan parkir di lokasi kejadian telah hilang dipercayai dicuri.

“Rentetan itu, serbuan dijalankan kira-kira jam 6.30 petang di Taman Sri Sentosa di sebuah stor besi buruk Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur dan berjaya memberkas dua suspek berumur lingkungan 40-an dipercayai terlibat dalam kejadian,” katanya.

Untuk rekod, suspek pertama mempunyai 15 rekod jenayah dan dua kesalahan narkotik manakala rakannya 19 rekod jenayah serta 10 penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek yang diberkas dipercayai baru keluar penjara pada 30 Jun lalu setelah melakukan jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan sementara seorang lagi suspek tidak bekerja.

“Serbuan kedua di stor besi buruk Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur berjaya menemui kereta yang dicuri,” jelasnya lagi.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dicuri dan akan dijual dalam pasaran.” – Sinar Harian

Google ads
Back to top button