Motosikal

MARC MARQUEZ: ALL IN – SELUSURI SEBALIK TABIR KEHIDUPAN LAGENDA MOTOGP YANG TIDAK PERNAH MENGALAH

Siapa tidak kenal Marc Marquez, satu nama yang cukup besar adalam arena perlumbaan MotoGP. Pencapaian beliau nyata sukar digugat oleh mana-mana pelumba lain. 

Buktinya, sebelum mencecah usia 30 tahun, Márquez sudah menjuarai 59 perlumbaan MotoGP, enam kemenangan dalam kelas perdana, selain 100 kedudukan di podium. 

Sebelum itu, Márquez telah memenangi 26 kemenangan dalam kelas feeder 125cc (kini Moto3) dan Moto2 yang menjadikannya juara dunia dalam setiap kategori. Malah, beliau mencatat nama sebagai juara dunia MotoGP paling muda pada usia 20 tahun pada tahun pertama menyertai liga perlumbaan paling berprestij tersebut. 

Lima lagi gelaran dalam kelas perdana menyusul hingga akhir 2019 dengan peluang untuk gelaran ketujuh menanti pada tahun 2020. 

Namun, kemalangan yang dialami pada perlumbaan musim 2020 hampir meragut kerjaya sensasi sukan dari Sepanyol ketika beliau berada di puncak. Lebih malang lagi, insiden berkenaan memberi kesan domino terhadap prestasi Márquez, sekali gus menamatkan harapannya untuk menjadi juara bukan sahaja pada tahun itu, malah pada tahun 2021 dan 2022.

Menyifatkan dirinya sebagai pesaing semula jadi, Márquez mengakui bahawa beliau tidak pernah puas dengan segala pencapaiannya. 

“Jika saya memiliki sesuatu, saya inginkan sesuatu yang lebih. Jika saya laju, saya ingin menjadi lebih laju. Saya adalah seorang pesaing semula jadi. 

“Walaupun ketika saya berumur empat atau lima tahun, jika saya kalah dengan ayah atau datuk saya dalam beberapa permainan, saya akan menangis, bagaimana anda mempelajari semua itu? Saya dilahirkan dengan mentaliti sebegitu,” katanya. 

Kini, para peminat boleh melihat belakang tabir kehidupan pelumba lagenda ini menerusi dokumentari ‘Marc Márquez: ALL IN’ yang dibahagikan kepada lima bahagian. Ia akan ditayangkan di Red Bull TV bermula 5 Jun 2023. 

Dokumentari berkenaan mengisahkan seorang anak muda yang menikmati kejayaan yang tiada tandingan, menewaskan idola-idolanya dan kemudian terpaksa mengatasi kecederaan yang menimpanya. Beliau juga terpaksa menjalani pembedahan peluang terakhir bersama sekelumit harapan untuk memenangi Grand Prix ke-60.

“Daripada dokumentari ini, anda boleh mengharapkan drama sebenar. Ia tentang seorang yang membuat keputusan besar untuk kerjaya dan kehidupan peribadinya. Ada naik, ada turun. Pengorbanan ialah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi itu.

“Dalam siri ini, anda akan menyaksikan saya tinggal di kampung halaman. Tetapi saya perlu berpindah ke Madrid kerana doktor dan fisio yang mahukan saya berada di sini. 

“Saya berkata tidak kepada kampung halaman, tidak kepada keluarga dan saya mengubah hidup sepenuhnya. Ini adalah demi satu sasaran iaitu mencuba dan menang sekali lagi. Bukan untuk sekadar menjadi pelumba yang handal, tetapi untuk menang lagi,” jelasnya.

Dokumentari tersebut memaparkan temu bual dengan rakan karib Márquez, rakan sepasukan, media, serta pesaing yang pernah beliau kagumi. Antaranya ialah rakan senegara dan juara MotoGP Jorge Lorenzo yang berkongsi  gambaran kehidupan Márquez sebagai seorang pelumba MotoGP. 

“Apabila saya tiba di MotoGP, ia mencipta satu kejutan untuk semua kerana saya terus meraih kemenangan pada tahun pertama menentang idola saya seperti Valentino Rossi, Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo. Semasa saya masih kecil saya mempunyai poster mereka dan apabila saya bermain permainan video, saya adalah Valentino Rossi.

“Dan kemudian pada tahun 2013 saya menyertai MotoGP, dan saya memenangi kategori itu. Dalam kerjaya saya, itulah kejayaan terbesar, dan saya berjaya melakukannya,” kata Márquez.

Dengan peluang terakhir untuk pulih daripada kecederaa, Márquez menjemput kamera ke dalam hidupnya, di atas dan di luar trek, untuk kali pertama sepanjang tahun 2022. Ini merupakan perjalanan yang akhirnya diharap akan membawanya kembali ke puncak podium sebagai juara dunia MotoGP.

Tonton dokumentari menarik ini di pautan ‘Marc Márquez: ALL IN

Google ads
Back to top button