Buletin

CURI HONDA CITY HATCHBACK DI CAR WASH, LELAKI DIHUKUM PENJARA SETAHUN

Seorang lelaki yang tular mencuri sebuah kereta jenis Honda City Hatchback di premis cuci kenderaan minggu lalu, dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret.

Mohd Syazrul Yahya, 27, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula tarikh tangkap, Khamis lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah mencuri kereta milik seorang wanita berusia 51 tahun itu, di sebuah pusat cuci kenderaan di Jalan Lengkuas, Seksyen 16 di sini pada jam jam 8 malam, 20 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Marcus Low yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum kerana perlu menyara bapa berusia 62 tahun.

“Tertuduh juga kesal dan insaf akan kesalahan yang telah dilakukan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button