Buletin

KIA DEDAH MODEL FACELIFT K8 SEDAN – TAMPIL DENGAN GAYA BAHARU

Kia baru-baru ini berkongsi teaser pertama model facelift K8 sedan dan bakal dilancarkan di Korea Selatan.

Model terkini ini menampilkan reka bentuk bahagian hadapan yang sepenuhnya baru, sejajar dengan bahasa reka bentuk terkini syarikat.

K8, sedan kedua terbesar Kia di Korea Selatan selepas K9 dan saudara kepada Hyundai Grandeur/Azera, diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada Kia Cadenza/K7.

Kini, lebih tiga tahun kemudian, ia akan menerima penggayaan baharu termasuklah, lampu LED baharu, gril ‘Tiger Nose’, DRL menegak seakan Cadillac CT5 serta bampar hadapan yang direka semula.

Pada bahagian belakang, lampu belakang lebar penuh telah disemak semula dengan grafik LED yang lebih tajam, dan bampar juga menerima kemas kini.

Kia belum mendedahkan foto dalaman lagi, tetapi mungkin terdapat sedikit kemas kini. Model K8 sedia ada menampilkan dua skrin 12.3-inci, heads up display (HUD) 12-inci, dan banyak sistem bantuan pemandu (ADAS).

Butiran mengenai trenkuasa juga belum didedahkan, kemungkinan besar akan kekal, menawarkan enjin petrol 2.5 liter dan 3.5 liter, hibrid, dan pilihan LPG.

Menurut laporan, Kia bakal mendedahkan spesifikasi terperinci dan harga di Korea untuk K8 facelift pada bulan Ogos.

Sejak debutnya pada tahun 2021, K8 sedia ada telah terjual lebih daripada 130,000 unit di pasaran Korea Selatan.

Google ads
Back to top button