Buletin

FERRARI SP3 DAYTONA. ENJIN V12 829HP, LAMPU POP-UP, RM9.45 JUTA, TERHAD 599 UNIT, SEMUA HABIS DIJUAL

Ferrari baru sahaja memperkenalkan model produksi terhad, SP3 Daytona yang merupakan ahli ketiga dalam keluarga siri Icona, selepas pelancaran Monza SP1 dan SP2 pada tahun 2018. 

Hypercar eksotik itu dibina untuk mengingati kemenangan 1-2-3 Ferrari dalam perlumbaan Daytona 24 jam pada tahun 1967. Ia hadir bersama enjin pembakaran dalaman paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Maranello.

SP3 Daytona menggunakan enjin V12 aspirasi biasa bersesaran 6.5 liter yang diasaskan daripada enjin 812 Competizione bersama beberapa penambahbaikan pada corong pengambilan dan ekzos. Enjin tersebut mampu menjana kuasa 829hp dan tork 697Nm. 

Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear klac berkembar 7-kelajuan dengan bantuan limited-slip differential. Hasilnya, SP3 Daytona boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.85km/j dengan pecutan maksimum 340km/j.  

Sekali pandang, SP3 Daytona kelihatan seperti La Ferrari Aperta dengan badan yang telah direka semula sepenuhnya oleh pasukan Flavio Manzoni. Mereka terinspirasi oleh reka bentuk model P3/4, P330 dan 412P yang mendominasi litar Daytona sekitar tahun 1960-an. 

Namun, kereta baharu itu mempunyai rekaan yang lebih agresif bersama rekaan sudut-sudut tajam. Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi splitter bersama hidung tajam dan fender lebar yang mengingatkan kita kepada jentera perlumbaan Ferrari. 

Lampu utama LED jenis pop-up itu pula mempunyai struktur rekaan yang kompleks. Profail sisi kelihatan sangat cantik dengan pintu rama-rama yang mengintegrasikan kotak udara yang diinspirasikan kepada model 512 S. Rim lima jejari dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa yang dibuat khas untuk jentera tersebut. 

Bahagian belakang tampil dengan rekaan retro yang dramatik. Lampu LED yang diposisikan secara melintang diintegerasikan dengan bilah-bilah yang melitupi bahagian atas diffuser gentian karbon. Sementara sepasang ekzos berbentuk trapezoidal menyalurkan bunyi enjin V12 yang nyaring. 

Ferrari mendakwa SP3 Daytona mempunyai kecekapan aero pasif paling tinggi. Ia dapat dicapai menerusi rekaan downforce dan penyejukan komponen mekanikal yang pintar. 

Ruang kabin menyaksikan rekaan minimalis yang diinspirasikan daripada jentera lumba era 1960-an. Sebab itulah tempat duduk yang nipis itu dipasang terus pada chasis. Posisi tempat duduk juga lebih rendah dan condong berbanding model-model Ferrari yang lain. 

Papan pemuka didatangkan dengan kemasan suede dan kluster instrumen digital melengkung bersaiz 16 inci yang turut disekalikan bersama sistem infohibur. Stereng nampak sama dengan model La ferrari yang membolehkan pemandu mengakses 80 peratus fungsi kenderaan. Satu lagi elemen menarik ialah perumah tuil gear dan kemasan gentian karbon yang terdedah. 

Sama seperti model Icona sebelum ini, Ferrari hanya menghasilkan 599 unit SP3 Daytona yang ditawarkan pada harga AS$2.3 juta (RM9.45 juta). Kesemuanya telah terjual dengan Ferrari menyatakan bahawa 499 unit dibeli oleh pemilik Monza, manakala baki 100 unit lagi dijual kepada pembeli terpilih. 

GALERI

Google ads
Back to top button