Buletin

KIA SPORTAGE – RM138,888

Naza Kia Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model SUV kompak Sportage yang telah mengalami proses facelift pada acara Kia World Cup Bonanza Customer Day di 43 cawangan Naza Kia March di seluruh negara.  

Kia-Sportage-RM138,888-Mekanika (4)

Ia merupakan model kedua yang ditawarkan oleh Naza Kia pada tahun ini selepas sedan Kia Optima K5 pada Januari lalu. Jentera yang menerima 25 bentuk penambahbaikan itu disasarkan untuk golongan berusia di antara 26 hingga 40 tahun.

“Sportage baharu bukan sekadar facelift. SUV popular ini ditingkatkan dari segi estetik dalaman dan luarannya. Ia juga dilengkapi enjin baharu untuk prestasi pemanduan yang optimum,” kata KetuaPegawai Operasi Naza Kia, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar.

Kia-Sportage-RM138,888-Mekanika (7)

Dengan sasaran jualan bulanan sebanyak 150 unit, Sportage baharu akan membantu Naza Kia mencapai sasarannya 15,670 unit kenderaan pada tahun ini. Tahun lalu menyaksikan Sportage mencatat jualan 1,406 unit.

Penampilan Sportage baharu dipertingkat menerusi gril radiator, bampar hadapan dan belakang yang baru serta rim aloi bersaiz 18cinci yang telah direka semula. Penggunaan lampu utama jenis projektor dengan  butiran LED DRL, lampu kabus hadapan dan belakang juga direka agar keliharan lebih menarik.

Kia-Sportage-RM138,888-Mekanika (5)

Di ruang kabin, ciri yang telah ditambah termasuklah glove box yang disejukkan, lampu mood dan tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektronik. Bagi penggemar muzik, Sportage kini dilengkapi sistem bunyi daripada Infinity dengan tujuh unit pembesar suara.

SUV ini digerakkan oleh unit enjin NU 2.0 MPI dengan sistem Dual Continuous Variable Valve Timing (DCVVT) binaan Kia. Enjin yang mampu menghasilkan kuasa maksimum  154PS dan tork 191Nm itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Kia-Sportage-RM138,888-Mekanika (11)

Seperti biasa, Sportage baharu tidak berkompromi dengan aspek keselamatannya. Menerima penarafan lima bintang daripada pihak Euro NCAP dan NHTSA, ia dipasang dengan enam beg udara, sistem bek ABS, EBD, Downhill Brake Control, Hill-Start Assist Control, Cornering Brake Control, Brake Assist System dan Traction Control System.

Kia-Sportage-RM138,888-Mekanika (14)

Boleh didapati dalam pilihan warna putih, perak, oren dan merah, Sportage baharu ditawarkan pada harga RM138,888 bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button