
NON STOP – PSIKOLOGI MAUT DI UDARA
Judul: Non-Stop
Genre: Aksi-Thriller
Pengarah: Jaume Collet-Serra
Pelakon: Liam Neeson, Julianne Moore, Michelle Dockery, Lupita Nyong’o, Anson Mout, Nate Parker dan Scoot McNairy.
Bintang: ***
SEBUAH lagi filem tentang rampasan kapal terbang di udara? Membosankan? Jangan cepat membuat andaian. Ya, genre filem sebegitu sudah berpuluh-puluh kali kalau tidakpun beratus kali dihidangkan di layar perak.
Apa sahaja yang belum dipaparkan tentang rampasan kapal terbang. Malah, kapal terbang rasmi Presiden Amerika Syarikat juga pernah sempat dilabelkan sebagai tidak selamat daripada dirampas pengganas menerusi filem Air Force One.
Cuba lari daripada klise, Hollywood lantas menampilkan subjek ketakutan di atas kapal terbang yang bukan dalam bentuk manusia. Snakes On Plane sebagai contohnya, menampilkan serangan beratus-ratus ekor ular di dalam sebuah kapal terbang di udara.
Apa lagi kisah serangan zombi dalam kapal terbang yang sudah lumrah muncul di layar perak.
Percubaan yang agak baik dan sukses untuk lari daripada kesemua elemen klise tentang ketakutan yang dialami di dalam kapal terbang di udara juga pernah digapai menerusi filem Flight Plan, lakonan cemerlang pemenang dua kali Oscar aktres terbaik, Jodie Foster. Justeru, apa lagi yang mahu dipaparkan menerusi Non-Stop? Ini tawaran menarik naskhah terbaharu arahan Jaume Collet-Serra.
145 penumpang, 145 suspek. Seorang penumpang akan mati dalam setiap 20 minit jika wang berjumlah AS$150 juta (RM480 juta) tidak dimasukkan ke dalam akaun bank seorang marsyal udara, Bill Marks yang turut berada dalam kapal terbang itu.
Andaian mudah sudah tentu menghukum bahawa Bill ialah perampas kapal terbang tersebut, sementelah mangsa pertama maut di tangan Bill saat dia bergelut mempertahankan diri .
Ini permulaan menarik kepada permainan psikologi maut di dalam kapal terbang di udara, sementelah bom yang sudah siap dipasang menunggu masa untuk meletup!
Bill pula digambarkan seorang pemabuk, namun kerjayanya sangat penting kerana ia diwujudkan ekoran siri beberapa rampasan kapal terbang sebelum itu.
Di mata penumpang dan kru penerbangan, Bill ialah suspek utama. Namun di mata penonton, suspek adalah dalam kalangan penumpang termasuk seorang wanita yang berwatakan pasif, Jen Summers.
Malah kru penerbangan itu juga tidak terkecuali turut dimomokkan kepada penonton sebagai senarai suspek termasuk dua pramugari kapal terbang itu, Nancy dan Gwen, selain dua orang juruterbangnya.
Intipati tersebut yang menjadikan Non-Stop sedikit berbeza daripada naskhah tentang rampasan yang pernah dipaparkan sebelum ini. Apatah lagi mangsa yang maut dalam setiap 20 minit itu bukan di tangan perampas kerana selain mangsa pertama yang maut di tangan Bill, mangsa seterusnya – salah seorang juruterbang maut akibat keracunan makanan. Begitu juga mangsa seterusnya.
Daya tambah tarikan terhadap filem ini sudah tentu pelakon utamanya. Karakter Bill direalisasikan oleh aktor terbilang Hollywood, Liam Neeson. Watak Jen pula dihidupkan oleh Julianne Moore yang diyakini antara aktres yang mampu melontarkan mutu lakonan terbaik di Hollywood.
Ia percubaan yang baik untuk mengelakkan Non-Stop daripada meraih status filem gred B yang cuba untuk menjelma seperti filem gred A Hollywood seperti Snakes On Plane. Namun, adakah Non-Stop sukses untuk duduk sebaris dengan filem gred A tentang rampasan kapal terbang seperti Air Force One dan Flight Plan?
Jawapan kepada soalan itu ialah: sederhana. Intipati, perkembangan plot serta penampilan barisan pelakon dengan daya dan mutu lakonan berjaya menyelamatkan Non-Stop daripada turut bertaraf gred B secara amnya. Namun, ia juga tetap tidak boleh dikategorikan berada pada satu tahap yang sama seperti Fight Plan dan Air Force One. Gred B+.

















