Buletin

TOYOTA GR VELOCITY ESPORT 2020. HADIAH WANG TUNAI RM70K, PELUANG WAKILI MALAYSIA

Perlumbaan maya anjuran Toyota akan bermula September depan melibatkan beberapa siri pusingan kelayakan, separuh akhir serta perlumbaan kemuncak dengan format empat saingan.

Empat pusingan kelayakan dalam talian itu terhad kepada 180 peserta setiap pusingan. Bakal berlangsung sepanjang dua hujung minggu berturut-turut, (3-4 September dan 12-13 September), ia dijangka melibatkan seramai 720 pelumba.

Pusingan kelayakan Toyota GR Velocity ESport akan menggunakan litar Fuji Speedway di Jepun dengan jentera lumba GR Supra RZ. 20 pemandu terpantas kemudian layak ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan pada 26 September di ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam

Pusingan separuh akhir itu bakal menyaksikan dua perlumbaan berasingan dengan meminjam lokasi maya di Jepun.

Pertama, perlumbaan 22 pusingan di Kyoto Driving Park menggunakan jentera lumba prototaip TS050 Hybrid. Sementara perlumbaan kedua menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 di litar Suzuka sepanjang 5.8 km sebanyak 18 pusingan.

10 pemandu terpantas kemudian menempah tempat ke pusingan akhir pada 27 September di lokasi sama. Saingan untuk muncul juara dan memenangi hadiah utama bernilai RM20,000 akan ditentukan daripada empat perlumbaan melalui kutipan mata di setiap pusingan.

  • Perlumbaan pertama akan menyaksikan pelumba memandu GR Supra RZ di litar Autodrome Lago Maggiore di Itali (15 pusingan)
  • Perlumbaan kedua di Autopolis Racing Course Jepun dengan jentera FT-1 Vision Gran Turismo (18 pusingan)
  • Perlumbaan ketiga dengan jentera TS050 Hybrid di Circuit de la Sarthe di Perancis (10 pusingan)
  • Perlumbaan keempat dan terakhir di litar Spa-Francorchamps Belgium menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 dikuasakan oleh Toyota (18 pusingan)

Disifatkan sebagai antara siri perlumbaan dalam talian tempatan dengan habuan lumayan, Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports menawarkan hadiah wang tunai RM20,000, RM10,000, RM7,000, RM5,500 dan RM4,500 kepada lima pelumba terbaik.

Tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali diadakan, Piala Asia GR Supra GT 2020 yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) pada Oktober 2020.

Acara berkenaan bakal menyaksikan wakil Malaysia bersaing dengan pelumba terbaik dari Thailand, Singapura, Filipina dan India.

Hadiah tunai bernilai RM4,000, RM3,500, RM3,000, RM2,500 dan RM2,000 turut menanti pemenang di tempat ke-6, 7, 8, 9 dan 10. Hadiah RM500 juga akan diberikan kepada peserta yang menduduki tangga ke-11 hingga 20.

Dengan RM70,000 tersedia untuk dimenangi, semua pelumba berpeluang untuk menerima wang tunai tambahan sebanyak RM450, RM200 dan RM100 yang akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap empat pusingan akhir nanti.

Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports musim ketiga akan menampilkan perlumbaan pertunjukan 10 pusingan melibatkan pelumba dan selebriti yang bersaing dalam Toyota Vios Challenge dan Toyota Gazoo Racing Festival.

Pelumba TGR akan berentap di dalam perlumbaan 10 pusingan menggunakan Toyota GR Supra Racing Concept di litar Fuji International Speedway sepanjang 4.5km. Sementara barisan selebriti pula akan menggunakan jentera TS050 Hybrid dalam perlumbaan 17 pusingan di Tokyo Expressway.

UMWT merupakan satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan permotoran maya. Pertama kali dianjurkan pada 2018, jumlah peserta dilihat terus bertambah.

Seramai 300,000 penonton dijangka mengikuti perlumbaan tahun ini secara langsung.

Maklumat lanjut tentang Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports dan untuk mendaftarkan penyertaan, sila layari www.toyota.com.my

Google ads
Back to top button