
KIA, THE OCEAN CLEANUP JALIN KERJASAMA – BANTU USAHA MASA DEPAN LEBIH LESTARI
Kia Corporation dan The Ocean Cleanup, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membangunkan teknologi untuk membersihkan lautan dari plastik, sedang meningkatkan jejak global mereka untuk mempercepatkan masa depan lebih Lestari.
The Ocean Cleanup baru-baru ini membuka pejabat serantau pertamanya di Kuala Lumpur, Malaysia dengan rancangan untuk membina hubungan lebih erat dengan komuniti tempatan, serta merancang, menyelaras, dan melaksanakan inisiatif untuk menangani pencemaran plastik di seluruh saluran air di Asia Tenggara.
Bagi melaksanakan usaha ini, Kia akan menyokong pejabat serantau The Ocean Cleanup yang baru dibuka dengan sebuah kenderaan Kia baharu.
Kenderaan ini akan membantu operasi harian organisasi serta menjalankan penyelidikan lapangan di lokasi yang terpencil dan sukar diakses.

Perkongsian strategik ini bertujuan untuk menekankan dedikasi Kia dalam mewujudkan dunia yang lebih bersih dan hijau, selaras dengan kepercayaan teras syarikat tersebut.
Komitmen Kia terhadap mobiliti hijau diperkukuhkan lagi dengan komitmennya untuk memperkenalkan 10 item lestari yang akan menjadi asas penggunaan bahan lestari dalam keretanya pada masa hadapan.
Sehingga kini, Kia telah mereka bentuk lebih daripada 30 penyelesaian lestari dalam proses pembuatan keretanya termasuk penggunaan komponen berasaskan tumbuhan, polietilena tereftalat (PET) kitar semula serta jaring ikan buangan dalam penghasilan fabrik dan permaidani keretanya.
Komitmen Kia terhadap masa depan yang lebih baik ditekankan pada pelancaran dunia Kia EV3 baru-baru ini, di mana ia diperkenalkan sebagai model Kia pertama menggunakan plastik kitar semula secara meluas, dengan anggaran 28.5 kg plastik setiap kereta.
Ini dicapai dengan mengintegrasikan plastik kitar semula ke dalam komponen luaran seperti penutup bampar, fender, dan kemasan pintu.
Perkongsian dengan The Ocean Cleanup terus menjadi salah satu strategi utama dalam visi korporat Kia untuk membina masa depan mobiliti yang lestari.
Berdasarkan usaha dan momentum semasa, Kia merancang untuk meningkatkan peratusan penggunaan semula plastik kepada 20 peratus menjelang 2030.
Selain itu, Kia mahu terus menyumbang kepada perlindungan alam sekitar dengan mewujudkan dan mengaktifkan “Virtuous Recycling Loop” untuk meminimumkan kesan iklim semasa melupuskan kenderaan.
- BACA: LELAKI DITAHAN SELEPAS DUA JAM LARIKAN SUV DARI SURIA KLCC
- BACA: PANDANGAN POLITIK, PERANGAI ELON MUSK MENJENGKELKAN – PENGGUNA RELA PILIH JENAMA LAIN BERBANDING TESLA
- BACA: PROTON SASAR TAMBAH PENGEDAR PROTON e.MAS
- BACA: HONDA PRELUDE BAKAL KEMBALI – MODEL HONDA PALING ELEGAN KINI DENGAN TEKNOLOGI HIBRID