Buletin

KIROBO MINI – ROBOT KECIL BUATAN TOYOTA UNTUK TEMAN BERCAKAP

Bangsa Jepun memang handal dalam bab robot. Mereka seakan obses dengan hal-hal yang berkait dengan robot. Contoh paling mudah boleh dilihat bagaimana pengaruh robot dalam animasi Jepun. Doraemon, Gundam dan macam-macam lagi. Jepun juga terkenal dengan produk yang kadang-kala di luar kerangka pemikiran.

Pengeluar besar juga sporting. Sebagai contoh Toyota Motor Corporation telah melancarkan teman untuk bercakap atau nama rasminya Kirobo Mini.

Susah juga nak fahamkan apakah fungsi sebenar Kirobo Mini ini. Berpusing baca siaran media untuk memahaminya. Apa pun menurut Toyota, Kirobo Mini ini fungsinya ialah teman untuk berkomunikasi atau bercakap. Nak panggil apa ni? Patung atau robot? Panggil robot saja lah.

Saiznya kecil sahaja iaitu muat atas tapak tangan dan apabila didudukkan hanyalah berukuran 10 cm. Salah satu kebolehan robot ini ialah kepalanya boleh berpusing mengikut arah individu yang bercakap dengannya. Semasa dalam proses komunikasi itu, kepala dan tangan robot ini turut ikut bergerak.

Disebabkan saiznya yang kecil, Kirobo Mini ini boleh dibawa ke mana sahaja. Teringat pula tentang permainan Digimon dan Tamagotchi masa kecil dahulu.

Toyota mensasarkan Kirobo Mini kepada mereka yang sukakan benda-benda yang comel, suka nak mencuba benda baharu dan minat untuk bermain dengannya.

Salah satu lagi fungsi Kirobo Mini ialah pengguna boleh berkongsi pengalaman menggunakannya dengan pemilik lain dalam laman web rasmi With Kirobo Mini Friend Park.

Laman web ini membolehkan pemilik berkongsi momen mereka dan bertukar-tukar maklumat mengenainya. Kira macam forum atau grup media sosial automotif.

Nak terang macam susah pula,  di bawah ini ada video tentang Kirobo Mini dan comel pula ada robot boleh layan bercakap.

Harga Kirobo Mini di Jepun boleh dikatakan agak mahal juga iaitu bermula dari JPY 42,984 atau RM 1,588. Mahal tapi comel. Seronok juga layan benda ini.

 
Google ads
Back to top button