Buletin

MASERATI LEVANTE S – 2 VARIAN, BERMULA RM788K

Naza Italia hari ini melancarkan SUV mewah Maserati Levante S secara rasmi ke pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam dua varian iaitu GranLusso dan GranSport, jentera tersebut boleh anda miliki pada harga harga bermula RM788,800 seunit. 

Levante S mula melakukan debut dunia pada acara Frankfurt Motor Show 2017 dengan prestasi lebih baik dan sporty untuk mengharung apa jua permukaan jalan. Evolusi utama yang dialami oleh Levante S ialah penggunaan enjin turbo berkembar V6 Maserati. 

Enjin Gasoline Direct Injection (GDI) itu direka oleh pihak Maserati Powertrain bersama pasukan Ferrari Powertrain. Berupaya menjana kuasa mencecah 430hp dan tork 580NM, ia kemudian dipadankan dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik. 

Rangkaian kuasa tersebut membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 5.3 saat dengan kelajuan maksimum 264km/j. Biarpun begitu berkuasa, ia masih mampu menawarkan penjimatan sekitar 10.9l/100km dengan emisi CO2 253g/km. 

Maserati telah menggantikan stereng hidraulik kepada stereng elektrik yang menyokong mode pemanduan dan fungsi-fungsi seperti Highway Assist, Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Traffic Sign Recognition.

Jentera itu didatangkan dengan sistem brek terbaik yang terdiri daripada brek Brembo enam omboh bersama  angkup monoblocaluminium dan brek cakera bersaiz 380mm di hadapan dan 330mm di belakang.   

Bagi menawarkan pengendalian yang lincah, Levante S mempunyai titik graviti paling rendah dalam kelasnya,  agihan berat 50:50 serta penggunaan material yang ringan. Aspek pengendalian dipertingkatkan lagi menerusi penggunaan suspensi udara, penyerap hentak Skyhook yang dikawal secara elektronik dan sistem pacuan empat rod a Q4 yang hadir sebagai ciri standard. 

Pemandu boleh memilih mode pemanduan seperti Normal, I.C.E., Sport dan Off-Road yang memiliki karekter berbeza dari segi talaan enjin, transmisi, suspensi serta elektronik. 

Ruang kabin Levante S diserlahkan dengan paparan Maserati Control Plus (MTC+) bersaiz 8.4 inci yang dipasang pada papan pemuka. Tidak ketinggalan kluster butang mode pemanduan dan suis rotari aluminium. 

Dari segi rekaan luaran, Levante S tampil dengan falsafah reka bentuk jentera Maserati yang lain. 

Kemasan GranLusso dan Gransport dibezakan melalui kemasan gril, roof rail, skirting sisi serta saiz rim iaitu 19 inci Zefiro untuk GranLusso dan rim 20 inci Nereo (Gransport). Ruang dalaman GranSport juga lebih sporty. 

GALERI   

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button