Buletin

KISAH CIVIC “ROKET AMERIKA” – MADE IN KUBANG IKAN!

Di satu ceruk kampung bernama Kubang Ikan, Terengganu ada seorang anak muda memerah keringat membina sendiri sebuah jentera perang secara senyap-senyap. Masyarakat umum tak tahu, lawan di litar pun tak tahu. Yang tahu cuma kenalan terdekat, yang sering berulang alik ke bengkel beliau. Itu pun dilarang keras dari menyebarkan status projek ini di laman sosial. Teaser manja-manja tu ada laa..

Secara amnya, Mie dan MMN Racing bukanlah nama baru dalam arena sukan drag. Dari zaman SDB (Sepang Drag Battle) lagi dia dah main. Tapi untuk jentera ini, kemunculan pertama hanya berlaku pada awal tahun lalu dan terus memenangi podium kedua dalam perlumbaan King Of The King 2016.

BACA: CIVIC EK THE KING KODIANG

Melihat kepada potensi yang ada, jentera ini telah dibina semula untuk dibawa ke peringkat lebih ekstrim. Keseluruhan casis perlu diringankan seperti yang sepatutnya, termasuk binaan kerangka jenis tiub di bahagian depan. Ia turut melibatkan pemotongan lantai belakang dan digantikan dengan lapisan gentian fiber yang lebih rata.

Bahagian cermin menggunakan plastik jenis perspex yang ringan. Ini diikuti pemasangan spoiler aluminium kustom, serta rekaan baru untuk bumper dan arch roda belakang. Paling menarik rekaan muka depan yang diperbuat dari bahan gentian fiber mengikut acuan asal. Macam pakai topeng, senang sikit nak bukak pasang.

Ketika pertama kali dipertontonkan, jentera ini berjaya mencuri tumpuan ramai hasil persembahannya yang unik. Pada asalnya digayakan oleh Ju Korox Airbrush dengan corak ala kapal terbang perang. Ia kemudian ditambah jaluran bendera Uncle Trump, yang diilhamkan dari jentera Mustang Hoonicorn Ken Block.

Terkejut orang kampung dan kariah masjid cermin dibuatnya. Ingatkan kereta drag Amareka mana yang datang main. Dengan tak semena-mena, jentera perang terbaru MMN Racing ini terus mendapat jolokan nama ‘America Rocket’.

Pada masa yang sama, enjin yang sedang digunakan juga telah dibina semula. Meletakkan blok B20B dengan sleeve Super90 sebagai asas, ia turut menempatkan piston CP 84mm serta conrod tempahan khas. Kepala silinder B18C yang digunakan, diberi kerja-kerja port & polish, sebelum dipadankan dengan set camshaft dari Skunk2.

Tujahan kuasa datang dari unit turbo BorgWarner S300 dari MTS Turbo Service. Ia digantung pada sebuah manifold kustom, yang dipanjangkan hingga ke bahagian sisi bumper.

Tekanan pada perumah turbin dikeluarkan melalui wastegate sebesar 65mm, manakala boost yang telah termampat dibawa ke intercooler GReddy untuk disejukkan. Perjalanan boost perlu melalui unit throttle body dan manifold kemasukan kustom. Manakala lebihan boost yang terbentuk, akan dipancit keluar menerusi injap pelepas Turbosmart.

Bekalan bahan api dihantar oleh dua pam petrol Bosch 044. Ia disalurkan kepada rel bahan api AEM yang memegang set injektor berkapasiti 2200cc. Campuran yang terbentuk kemudiannya diletuskan oleh kit COP untuk enjin K-Series.

Sementara itu, aspek pengurusan enjin kini menggunakan unit MaxxECU yang boleh diprogram sepenuhnya. Advance jugak ECU dari Sweden nih. Macam-macam benda boleh kawal. Memastikan setiap kebuk silinder dipantau rapi, ia turut dilengkapi sensor EGT secara berasingan.

Aspek cengkaman datang dari dua set getah yang berbeza. Depan pakai tayar belon M&H Racemaster bersaiz 26.0×10.0-15, manakala belakang diisi tayar Hoosier 25.0×5.0-15 pada rim aloi Keizer Wheels.

Set suspensi tak mahal mana, jenis Mines yang boleh dilaras untuk depan serta sepasang monoshock Yamaha Y125Z pada ruang belakang. Yer, taruk yang motor punya dan ditambat pada breket rekaan khas. Sistem brek pulak memadai dengan komponen asal Civic EK9, yang hanya digunakan di bahagian depan.

Seperti lazimnya, apa yang tinggal pada ruang kokpit hanyalah saki-baki komponen yang perlu. Ada dashboard separuh rentung, stereng Momo, tempat duduk Bride, harness Takata, serta galang rollcage kustom.

Memandangkan unit pengurusan MaxxECU yang digunakan boleh memberi data lebih terperinci, ia telah dihubungkan kepada sebuah tablet secara gigi biru (Bluetooth) untuk memantau perjalanan enjin secara keseluruhan.  

Ketika perlumbaan drag anjuran MUSC di Kuala Terengganu baru-baru ini, Mie dan America Rocket berjaya mencatat masa terbaik 7.1 saat untuk jarak 201 meter dalam kategori FWD Turbo Pro Drag.

Walaupun sekadar memperbaharui rekod peribadi, kehadiran beliau dengan setup terbaru ini, berjaya memberi amaran awal tentang kemampuan seorang anak jati kampung mencipta kejutan.

-PAK MAUN-

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”122″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button