Buletin

RASMI: HONDA MALAYSIA LANCAR CIVIC TYPE R MINGGU DEPAN! BERAPA HARGANYA NI?

Jemputan sudah mula diedarkan kepada pihak media tentang pelancaran rasmi model Honda paling dinantikan tahun ini. Honda Civic Type R akan dilancarkan secara rasminya minggu hadapan pada 9 November. Serentak dengan itu juga pengumuman harga jualan dan sudah tentu, ramai yang ternanti-nanti berapakah anggaran harga yang akan diletakkan oleh Honda Malaysia.

Civic Type R ini telah dibawa masuk sejak bulan lepas dan mula dipamerkan sempena perlumbaan Formula One di Litar Antarabangsa Sepang bulan lalu. Sebenarnya, kami menjangkakan kereta ini akan dilancarkan pada awal tahun hadapan kerana Honda Malaysia jarang melancarkan kereta pada penghujung tahun.

Tempahan sudah mula dibuka untuk model ini pada penghujung September lalu dan menurut sumber kami, Honda Malaysia menerima tempahan pada jumlah angka yang luar biasa.

Lazimnya, bagi model yang mempunyai pasaran niche begini, pengeluar/pengedar tidak akan mensasarkan jumlah jualan yang tinggi. Biasanya hanya sekitar 100 ke 200 unit setahun.

Namun ia mungkin sedikit istimewa bagi model ini kerana ia model khusus yang berkonsepkan sport sepenuhnya. Ia mengingatkan kami betapa terujanya Abang Japar waktu Civic Type R FD2R dilancarkan pada tahun 2008 dulu. Kami diberi peluang memandu uji FD2R di litar Sepang juga.

Sedikit latarbelakang mengenai Type-R FK8.

Ia adalah generasi R terbaru dalam keluarga Honda yang dipasang di kilang Honda Swindon UK. Secara kronologinya, ia Type R ketiga di luar Jepun selepas FN2R dan FK2R dalam keluarga CIvic (tak termasuk Arrcord R)

BACA: HONDA AMERIKA MULA JUAL ENJIN TYPE R

Civic Type R terbaru ini lebih dikenali kerana telah diobatkan sebagai kereta pacuan dua roda hadapan terpantas di Nurburgring. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter VTEC TURBO dengan output kuasa maksimum 310 PS pada 6,500 rpm dan tork puncak 400 Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm.

Enjin itu digabungkan dengan transmisi enam kelajuan manual yang mempunyai padanan rev (rev match) supaya kereta kekal berkuasa semasa tukaran enjin dilakukan. Pemandu yang mahu bermain dengan rev secara tradisional iaitu heel and toe pula boleh memadamkan fungsi tersebut pada sistem talaan kereta walaupun dalam apa jua mod pemanduan dipilih. Kereta ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu +R, Sport, and Comfort.

Jadi berapakah harganya?

Setelah mengadakan mesyuarat tergempar di pejabat mekanika pada pagi ini, kami membuat kesimpulan bahawa harga Type-R akan melebihi paras RM200K, ia lebih mahal daripada mana-mana model yang pernah dijual Honda sebelum ini. Jangan berharap bahawa akan dapat dibeli pada harga Type-R FD2R dulu (RM199K).

Mengambilkira teknologi yang dicurahkan pada model ini, dengan 310 kuasa kuda, mod pemanduan, rim 20 inci dan peralatan elektronik yang ekstensif, ia bukanlah Type-R yang biasa. Dengan itu kami mengambilkira beberapa model yang pernah dijual di Malaysia oleh pengedar yang SAH (bukan recond) berdasarkan spesifikasi paling hampir.

  • 2015 – Renault Megane 275HP RS Trophy R – RM300K
  • 2008 – Mitsubishi Lancer EVO X (Evo 10) – RM315K
  • 2017 – Subaru WRX STi manual – RM310K

Cuba lihat contoh di atas kebanyakannya sudah melebihi paras harga RM300K. Namun mengambilkira strategi harga Honda Malaysia yang lazimnya kompetitif, kami menganggarkan Type-R Baru ini akan diletakkan di bawah RM300K

Kami jangka harganya antara RM290,000 hingga RM299,000.

Abang Japar rasa RM299,800.

 

Google ads
Back to top button