Buletin

KLIMS 2024 CATAT 183,221 PENGUNJUNG

Edisi ke-10 Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2024) akhirnya melabuhkan tirai, menyaksikan seramai 183,221 pengunjung memeriahkan acara berkenaan.

Sepanjang tujuh hari penuh aksi, menyaksikan hampir 70 jenama automotif dan mobiliti terkemuka mempersembahkan inovasi terkini mereka di bawah tema “Beyond Mobility”.

Acara ini menjadi pentas kepada jenama terkenal seperti Toyota, Perodua, Proton, Honda, Mitsubishi, Nissan, Mazda, Kia, Great Wall Motor (GWM), MG Motor, XPeng, Modenas, Kawasaki, Aion, Royal Enfield, Harley-Davidson, Peugeot, dan Leapmotor.

Setiap jenama membawa konsep serta prototaip yang mencuri perhatian, dengan Toyota memperkenalkan model FT-3e, Land Cruiser SE, Hilux FCEV, dan Kayoibako.

Nissan memukau pengunjung dengan Hyper Tourer futuristik, manakala Honda mempersembahkan Prelude Concept, skuter elektrik Motocompacto, dan konsep kenderaan terbang eVTOL.

Wakil tempatan, Perodua, turut mencuri tumpuan dengan konsep kereta elektrik eMO-II serta Ativa Fuze, membuktikan keupayaan Malaysia dalam arena automotif.

Pengiktirafan Kreativiti dan Reka Bentuk
Acara ini turut mengiktiraf kreativiti pempamer melalui Best Booth Design Awards. Dalam kategori OEM (400 meter persegi ke atas), UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. menduduki tempat pertama, diikuti Proton Holdings Bhd dan Perodua Sales Sdn. Bhd.

Tempat teratas kategori OEM (399 meter persegi ke bawah) pula dimenangi Stellantis Malaysia Sdn. Bhd.

Bagi kategori Non-OEM, PECCA Leather Sdn. Bhd. meraih tempat pertama, manakala Wedrink Enterprise Management (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Didi Group masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Panel penilai memberi penekanan kepada daya tarikan visual, penggunaan ruang yang efisien, elemen interaktif seperti pengalaman VR, serta persembahan produk yang menarik.

Hadiah dan Penghargaan
KLIMS 2024 turut menghiburkan pengunjung dengan pelbagai hadiah menarik. Hadiah utama berupa sebuah Toyota Yaris 1.5G Limited dimenangi Mohd Azzarain Abdul Aziz, manakala Leaw Xiu Qi membawa pulang Perodua Axia.

Pemenang diraikan dalam Majlis Teh Penghargaan yang dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk menghormati kejayaan pempamer dan sokongan para pengunjung.

Sebagai tanda penghargaan, MAA mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan KLIMS 2024.

Semangat inovasi dan kerjasama yang ditonjolkan di pameran ini dijangka terus memacu industri ke hadapan.

Dengan semangat “Beyond Mobility,” dunia automotif kini bersedia untuk edisi KLIMS yang lebih menarik pada masa akan datang.

Google ads
Back to top button