Buletin

KLIMS 2024: PERODUA PAMER MODEL PROTOTAIP EV eMO-II. HARGA BAWAH RM90K, BATERI LFP, 410KM SEKALI CAJ 

Perodua memperkenalkan evolusi prototaip kenderaan bateri elektriknya yang dikenali sebagai eMO-II (disebut sebagai M-O-2) di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) hari ini.

“Prototaip ini adalah kesinambungan perjalanan pembuatan kereta elektrik (EV) kami dengan teknologinya kami cipta sendiri dari awal. eMO-II telah ditambah baik daripada model prototaip terdahulu dari segi penggayaan dan ciri-cirinya. Ini menjadikannya lebih sempurna dan bersedia menuju masa depan EV kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad semasa sesi pelancaran eMO-II.

Prototaip terbaharu ini mempunyai penggayaan yang lebih kemas yang menggabungkan ciri estetik abad ke-21 dengan keunikan Malaysia. Reka bentuk kereta berkenaan dibuat berdasarkan elemen songket yang digabungkan dengan lampu LED bagi melengkapi keseluruhan rekaannya. 

EV pertama Perodua itu dijangka ditawarkan pada harga bawah RM90,000 seunit. Menurut Zainal, jentera itu tidak akan dihasilkan di kilang sedia ada, sebaliknya dibina di kilang Perodua yang baru. 

Setakat ini, tidak banyak perincian yang diberikan oleh Perodua. Namun, EV itu dijangka menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) yang mampu menawarkan jarak gerak antara 400 ke 410km

“Ingin saya ingatkan bahawa ini adalah model prototaip dan ada lebih banyak ciri-ciri dan penambahbaikan yang akan dimasukkan pada produk akhir kami yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi,” kata Zainal.

Projek EV berkenaan dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua pada 2023.

“Walaupun proses pembelajaran yang dilalui agak singkat, kami dapat menguasai pembuatan EV dengan lebih baik hasil kerjasama beberapa perunding yang dilantik. Suka untuk saya katakan di sini bahawa kami telah berjaya memenuhi garis masa yang ditetapkan, seterusnya boleh meneruskan penceritaan mengenai EV kami di sini.

 “Kami amat teruja untuk berkongsi cerita dengan anda semua dan kami akan terus memberikan perkembangan selanjutnya di masa akan datang,” katanya.

Zainal berkata Perodua juga bekerjasama dengan beberapa organisasi korporat tempatan untuk memastikan pelanggan mendapat akses mobiliti yang lebih baik.

“Mobiliti yang lebih baik bermakna kami menitikberatkan semua aspek pemilikan EV bagi memastikan pelanggan kami mendapat pengalaman yang efisyen, mesra pengguna dan dilengkapi oleh prasarana sokongan yang disediakan oleh organisasi ternama di negara ini.

“Paling penting, saya ingin berterima kasih kepada kerajaan, terutamanya Perdana Menteri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana menyokong projek ini, seterusnya menyokong ekosistem automotif negara dalam meneroka dunia EV.

“Kami faham bahawa elektrifikasi bukan hanya mengenai cara baharu untuk memandu, tetapi ia juga menunjukkan usaha kami dalam memerangi perubahan iklim dengan mengurangkan jejak karbon kami. Kami menyokong misi ini dan akan melakukan yang terbaik untuk merealisasikannya,” katanya.

Selain eMO-II, Perodua turut mempamerkan kereta konsep Ativa Fuze serta perjalanan Perodua selama 30 tahun di KLIMS 2024. Perodua mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke ruang pamerannya untuk melihat sendiri kenderaan yang dipamerkan serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

GALERI

Google ads
Back to top button