
PROTON S70-SEDAN PALING LOGIK DARI POIN A KE POIN B
Kita harus terima realiti, tak semua pemandu dan rakyat Malaysia kaya raya. Malah pembelian dan pembiayaan kenderaan sehingga 9 tahun adalah menjadi satu kelaziman. Jadi dengan semua maklumat yang ada di hujung jari, kita cuba memilih kenderaan yang terbaik dari segi nilai dan bajet bulanan kita
Umumnya kita akan menilai saiz kenderaan, jarak antara roda, kekuatan enjin, sistem suspensi, jenis transmisi dan akhir sekali harga yang diminta oleh pengeluar. Dan di sini kita akan lihat Proton S70 akan menang dari semua aspek yang dinilai
Saiznya lebih besar dari Toyota Vios serta Honda City, kecil sedikit berbanding dengan Toyota Corolla dan Honda Civic. Malah dari segi harga, jika anda tidak mahukan varian tanpa bumbung suria, Proton S70 hanya berharga RM 89,800 sahaja atau mahal sedikit sahaja berbanding dengan Toyota Vios 1.5E

Namun bagi varian Flagship, S70 berharga RM 94,800 dan jauh lebih murah berbanding dengan Toyota Vios. Namun dari segi prestasi enjin, Proton S70 sebenarnya jauh lebih berkuasa dengan enjin 1500cc 3 silinder turbo yang menjana 148 kuasa kuda dan 226Nm tork
Malah Proton S70 merupakan model tunggal yang menawarkan transmisi klac berkembar 7 kelajuan dalam segmen menjadikan penawaran model ini amat menarik. Cuma secara jujur, bagi penulis Proton S70 masih lagi dalam kelas B segmen, cuma diperbesarkan
Alasan penulis cukup mudah, jarak antara roda Proton S70 (2627mm) masih belum cukup panjang setanding dengan Toyota Corolla (2700mm) dan Honda Civic (2735mm)

Kedua, sistem suspensi belakang Proton S70 masih menggunakan torsion beam berbanding dengan Corolla yang menggunakan Double Wishbone dan Civic yang menggunakan Multi-Link. Mazda 3 pula walaupun menggunakan coupled torsion beam, platform dan cesinya sudah diperkemaskan sehingga penulis tiada komplen berkenaan dengan suspensinya
Disebabkan dimensi Proton S70 ini jauh lebih besar dan lebar, maka keseimbangan rekaan S70 adalah cukup baik. Nampak seperti sebuah sedan yang tegap. Penulis cukup berkenan dengan rekaan sisi yang ringkas dan rekaan lampu LED belakang yang cukup unik
Cuma rekaan depan nampak sedikit “tumpul” dan tiada identiti Proton. Rekaan lampu depan dan bampar bawah nampak OK, namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan sedan lain. Rekaan jeriji depan pula nampak tidak kena walaupun cuba di-Malaysiakan dengan unsur songket

Secara keseluruhan rekaan kabin nampak kemas dan moden, jauh lebih bagus daripada kebanyakan kereta elektrik yang menggunakan rekaan minimalastik. Butang fizikal masih disediakan, cuma penulis terasa ralat kerana butang untuk bumbung suria tidak diberikan.
Anda perlu menggunakan arahan suara Hey Proton atau menggunakan butang yang disediakan dan ditanam dalam skrin. Tambah menghibakan ialah tiada ciri Android Auto dan Apple Car Play diberikan walaupun kualiti paparan skrin multimedia 12.3 inci dan 10.3 inci untuk meter digital boleh memalukan jenama Jepun
Apatah lagi paparan kamera 360 darjah juga cukup terang dan jelas. Ciri-ciri moden lain diberikan dengan cukup baik seperti 5 poin USB, pengecas telefon tanpa wayar, kusyen pemandu balutan kulit dengan bantuan kuasa, dan corong penyaman udara belakang

Berikut ialah pemerhatian penulis selepas memandu uji Proton S70 selama 24 jam dengan jarak perjalanan mencapai 450km
1. Kuasa enjin adalah sangat mencukupi, dengan satu tang penuh membolehkan anda memandu dengan jarak mencecah 700km jika anda pandu dengan berhemah. Secara purata, anda boleh mendapatkan bacaan sekita 16.3km per liter petrol pada halaju 110km/jam
2. Kawalan manual gear boleh dibuat dengan menggunakan tombol gear, namun cara kawalannya agak pelik sedikit. Tombol gear perlu ditolak ke kiri atau kanan untuk menaikkan atau menurunkan gear. Agak janggal rasanya kerana hampir 99% atas dunia menggunakan kaedah tolakan gear atas atau bawah
3. Jika anda terlalu agresif dengan gear terutama ketika memulakan pecutan di lampu isyarat, tayar depan akan berkokok seolah-olah kehilangan grip. Pengalaman penulis ketika memecut selepas membayar tol pula ialah, gear seolah-olah tersangkut pada gear 1 atau 2 dengan mode manual diaktifkan apabila pedal minyak ditekan dengan agresif

4. Rasa stering adalah agak “kosong”, dengan free play yang banyak dalam mode Normal. Jika menggunakan mode Sport, stering hanya rasa ketat sedikit sahaja. Namun respon stering adalah bagus dengan S70 memerlukan sekitar 1.6 pusingan untuk ke kanan atau kiri
5. Ada 3 mode pemanduan yang disediakan dan boleh dipilih. Hanya satu simbol kecil sahaja yang menunjukkan perubahan apabila anda menukar mode pemanduan dari ECO, Normal dan juga Sport
6. Bagi penulis, suspensi direka dengan terlalu lembut dan mengutamakan keselesaan. Apabila melalui jalan tidak rata pada halaju melebihi 80km/jam, bahagian depan kereta akan berayun ke atas dan bawah beberapa kali

7. Jadi apabila digabungkan dengan stering yang terasa kaku, operasi gear yang tidak suka dengan pemanduan agresif serta sistem penyerap hentak yang lembut, maka penulis lebih selesa memandu S70 dalam keadaan yang tertib dan berhemah. Kalau laju pun mungkin di atas lebuh raya sahaja
8. Namun jika digunakan sebagai kenderaan yang normal dipandu setiap hari oleh segenap lapisan masyarakat, penulis rasa S70 boleh beraksi dengan cemerlang. Kusyen untuk pemandu menawarkan sokongan yang bagus sehingga 2 jam pemanduan
9. Pada halaju 110km/jam, kadar bunyi bising adalah pada 59dB sahaja. Sistem pemanduan adapatif digabungkan dengan ciri Intelligent boleh melalui selekoh dengan selamat, memperlahankan S70 apabila dipandu melalui selekoh

10. Sistem keselamatan terkini seperti Traffic Sign Recognition boleh mengenalpasti halaju termasuklah papantanda pembinaan jalan, dan memperlahankan kenderaan mengikut maklumat terbaru. Ciri Lane Centering Control pula mengurangkan bebanan penulis untuk pemanduan jarak jauh
Selepas memandu uji selama sehari dengan jarak hampir 450km, maka penulis sudah menemui jawapan kenapa Proton S70 menjadi pilihan kebanyakan pemandu. Harga mampu milik, dengan enjin yang berkuasa dan luas menjadikan Proton S70 pilihan pembeli
Tak semua pemandu perlukan sedan dengan pengendalian jitu seperti sebuah kereta lumba, apa yang diperlukan ialah sedan yang luas, cekap tenaga, berkuasa dan selesa untuk kegunaan seharian.
