Buletin

PEROMPAK LARIKAN 20 KONTENA BERISI EMAS DAN PERAK DI PELABUHAN MEXICO

Sekumpulan penyerang  yang lengkap bersenjata mencuri 20 kontena barang yang sesetengahnya berisi emas dan perak dari sebuah pelabuhan di barat Mexico, kata pihak berkuasa semalam. 

Kejadian yang digelar media tempatan sebagai ‘rompakan terbesar abad ini’  itu berlaku pada 5 Jun lalu di pekarangan persendirian sebuah pelabuhan komersial di bandar Manzanillo, pantai pasifik Mexico.

Selepas ‘menggagalkan’ pasukan keselamatan pelabuhan, kumpulan penyerang itu menggunakan kren dan treler untuk melarikan kontena-kontena itu, kata jurucakap keselamatan negeri, Gustavo Adrian Joya.

“Kejadian ini sama sekali di luar dugaan. Kami menyaksikan kes kecurian kontena secara sporadik sebelum ini tetapi belum pernah dalam jumlah yang begitu besar.

“Perompak-perompak itu amat teliti tentang jenis barang yang mereka curi seperti logam berharga dan barangan lain termasuk unit pendingin hawa,” katanya sambil menambah, rompakan itu mengambil masa antara lapan hingga 10 jam.

Ketua kastam nasional, Horacio Duarte Olivares berkata, kawasan rompakan itu adalah di luar kawalan Tentera Laut Mexico yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan pelabuhan-pelabuhan negara itu.

Pejabat Pendakwa Raya Awam menyatakan bahawa pihaknya membuka kertas siasatan tetapi tidak mendedahkan kuantiti emas dan perak yang dicuri. – AFP 

Google ads
Back to top button