
LELAKI NYARIS DIGILIS LORI KONTENA KETIKA ISI ANGIN TAYAR MOTOSIKAL
Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden melibatkan seorang penunggang motosikal yang hampir digilis sebuah lori kontena di pekarangan sebuah stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di stesen minyak berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.
“Ketika kejadian, sebuah lori kontena yang dipandu seorang wanita berumur 35 tahun membuat pusingan U di dalam kawasan stesen minyak, sebelum melanggar mangsa yang sedang mengisi angin tayar motosikalnya.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah terjatuh dan hampir digilis lori berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan. Beliau berkata, kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Pada Rabu, tular video berdurasi 23 saat yang memaparkan seorang pemuda sedang mengisi angin tayar motosikalnya. Tetapi, secara tiba-tiba sebuah treler yang berada tidak jauh di belakangnya bergerak dan membelok sebelum melanggar belakang badan mangsa.
Mangsa yang sedang duduk mengisi angin tayar bagaimanapun sempat bangun sebaik kaki kanannya hampir digilis treler berkenaan.
“Difahamkan, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mengalami luka pada tangan dan sakit bahagian kaki serta badan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – Sinar Harian