Buletin

KOS PENDAFTARAN KENDERAAN DI SINGAPURA MENINGKAT 59 PERATUS – DARIPADA RM716 KEPADA RM1.1K!

Land Transport Authority (LTA) Singapura menaikkan yuran berkaitan kenderaan mulai 19 Disember. Kenaikkan yuran tersebut akan meningkatkan kos untuk memiliki kenderaan dan menurut LTA, ia melibatkan 25 yuran serta caj.

Kenaikan tersebut termasuklah yuran untuk pendaftaran kenderaan serta pemindahan sijil kelayakan (COE), kelulusan jenis kenderaan dan pemberitahuan penarikan balik kenderaan.

Peningkatan kos tersebut diperincikan setelah kali terakhir melakukan semakan pada 2017. LTA berkata, kenaikan tersebut mengimbangi kos pentadbiran semasa.

Kebanyakan yuran akan dinaikkan antara 10 dan 25 peratus, dengan yuran pendaftaran kenderaan menyaksikan lonjakan paling ketara iaitu 59 peratus. Ini bermakna, yuran pendaftaran meningkat daripada S$220 (RM716) kepada S$350 (RM1,139).

Ia dinaikkan secara berkala selama bertahun-tahun. Pada tahun 2000, yuran pendaftaran adalah S$140 (RM455) sebelum meningkat kepada S$220 (RM716) pada tahun 2017. Bagi motosikal, yuran pendaftaran ialah S$5 (RM16) sebelum tahun 1998.

Memandangkan 45,000 hingga 125,000 kenderaan baharu didaftarkan setiap tahun, kenaikan yuran pendaftaran boleh menambah S$5.9 juta (RM19 juta) hingga S$16.3 juta (RM53 juta) kepada hasil LTA.

Sudah tentu, kenaikan yuran ini mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada peniaga motor yang terkejut dengan langkah diambil oleh LTA.

Nicholas Wong, pengurus besar ejen Honda Kah Motor, berkata “Saya fikir dalam tempoh harga COE masih tinggi dan sentimen pasaran yang lemah, ia bukan masa terbaik untuk meningkatkan kos,”

Laporan Straits Times menunjukkan bahawa pembeli kereta telah menjauhkan diri dari bilik pameran ketika kos COE begitu tinggi selain semakin ramai kakitangan jualan kereta meninggalkan industri itu.

Tambah Wong lagi, “Yang paling terkesan ialah kenaikan yuran pendaftaran daripada S$220 (RM716) kepada $350 (RM1,139), ini adalah lonjakan sebanyak 59 peratus! Saya fikir ia tidak wajar, dan menambah kadar inflasi. Peniaga perlu menyerap kos ini.”

Menurut Norman Lee, pengarah Race Werks, mengatakan bahawa “Bukankah ironis kebanyakan perkhidmatan LTA sudah pun didigitalkan, dalam talian atau layan diri. Namun, selama bertahun-tahun, kos sedemikian semakin meningkat, bukannya menurun kerana terdapat penjimatan kos dan peningkatan produktiviti?” – The Star

Google ads
Back to top button