Buletin

TAUKE BENGKEL BASIKAL DI SINGAPURA BERI SEPARUH SAHAM SYARIKAT BERNILAI RM3.2 JUTA KEPADA PEKERJA SETIA

Seorang pemilik bengkel basikal di Singapura dilapor telah memberi separuh saham syarikat kepada pekerja yang telah lama bersamanya.

Lim Soon Hock ialah pemilik Lim Ah Boy, bengkel basikal yang terletak di Bangunan Coyuco di Jalan Besar. Berasal dari latar belakang sederhana, Lim mula bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian di sekolah menengah sebelum membuka bengkel basikal bersama bapanya pada usia 21 tahun.

Sekitar tiga tahun lalu, Lim memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk dia berehat dan menyerahkan syarikat tersebut kepada orang lain.

Selepas beberapa pertimbangan, Lim memutuskan untuk membahagikan sahamnya dalam syarikat itu kepada dua, iaitu kepada anak lelakinya berusia 28 tahun dan satu lagi kepada pekerjanya yang telah berkhidmat selama 20 tahun, Xie Guoliang.

Xie bukan satu-satunya pekerja yang telah lama bekerja di Lim Ah Boy. Menurut Lim, terdapat pekerja lain telah berkhidmat dengan syarikat itu seawal 30 tahun lalu. Lim akhirnya memilih Xie sebagai penggantinya kerana dia bukan sahaja memiliki kualiti kepimpinan, malah berkongsi perspektif dalam kebanyakan perkara.

Menurut cerita, Xie pada mulanya hanyalah seorang pelanggan di bengkel tersebut dan bekerja sebagai penunggang penghantaran motosikal. Namun, nasibnya berubah setelah mengalami kemalangan hingga menyebabkan kakinya patah.

Setelah Lim mengetahui perkara tersebut, Xie ditawarkan untuk bekerja di bengkel basikal pada tahun 1999.

Kini berusia 48 tahun, Xie begitu terkejut apabila mengetahui Lim memberi separuh saham syarikat kepadanya. Xie turut menjelaskan bahawa dia berasa tidak bersedia untuk mengawasi semua operasi perniagaan.

Lebih mengejutkan lagi, tiada pertalian darah antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, Xie bersyukur dengan peluang itu dan akan bekerja keras untuk membawa Lim Ah Boy ke tahap yang lebih tinggi.

Mengenai keputusan memberikan saham kepada Xie, Lim percaya Xie akan menjadi pengganti yang baik. Walaupun ramai orang mungkin tidak memahami atau berkongsi falsafah sama seperti dia lakukan, Lim berpendapat bahawa kekayaan harus dikongsi dan bukannya hanya terhad kepada ahli keluarga saja.

Tambahnya lagi, wang harus digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan kerana mustahil untuk membawa harta ke alam akhirat.

Lim menganggarkan separuh saham daripada syarikat itu bernilai sekitar AS$728,088 (RM3.2 juta), dan perniagaan itu telah berkembang sejak Xie bersama anaknya mengambil alih.

Walaupun dia mungkin masih ke bengkel tersebut sekali-sekala, Lim banyak menghabiskan masanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Ini termasuklah melawat mereka yang kurang bernasib baik untuk mengedarkan roti atau menderma wang kepada organisasi masyarakat.

Baru-baru ini, Lim dilantik sebagai Presiden Kehormat Tetap Institusi Perubatan Chung Hwa Singapura, yang menyediakan rawatan perubatan tradisional Cina bersubsidi kepada golongan kurang bernasib baik.

Google ads
Back to top button