Buletin

KOS TAMBAHAN BILA MEMILIKI SUV/CROSSOVER

Sport Utility Vehicle ataupun crossover merupakan kenderaan popular pilihan masakini. Kebanyakan dari pemandu yang sudah memiliki kereta kompak atau sedan kompak, jika diberi peluang dan ada kemampuan kewangan pasti akan memilih SUV sebagai kenderaan pilihan naiktaraf.

Masakan tidak kerana SUV nampak lebih bergaya, lebih lasak dan lebih besar dari kereta kompak dan sedan kecil. Sebagai contoh penulis pasti akan memilih crossover Mazda CX-30 jika diberi peluang untuk memiliki kenderaan baru. Tapi selain bayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi, terdapat beberapa kos tambahan tersembunyi apabila anda memandu SUV.

1. Crossover/SUV lebih berat – jika dibandingkan dengan sedan dari model yang sama, crossover biasanya lebih berat sedikit berbanding sedan dalam 50-200kg. Lebih berat bermakna anda perlukan lebih kuasa enjin dan lebih banyak minyak untuk menggerakkan SUV anda. Mungkin dalam ia memerlukan bahan api tambahan dalam 0.2 liter ke 2 liter bagi setiap 100km

2. Enjin yang lebih besar, cukai lebih besar – disebabkan isu di atas, kebanyakan SUV yang dihasilkan berdasarkan sedan akan dipadankan dengan enjin yang lebih besar bagi tork yang lebih bagus. Ini bermakna penggunaan petrol lebih besar dan cukai yang lebih mahal berbanding dengan enjin sedan. Tambahan pula cukai untuk SUV adalah lebih mahal sedikit berbanding dengan sedan walaupun saiz enjin adalah sama.

3. SUV lebih tinggi – kelebihan tinggi ini membolehkan SUV merentas banjir kilat dengan selamat disebabkan kebanyakan komponen enjin dan elektronik berada jauh dari air. Namun ketinggian ini juga mengganggu faktor aerodinamik kereta dan menjadi punca kenapa penggunaan bahan api adalah lebih sedikit berbanding sedan.

4. Saiz Tayar lebih besar – jika anda perasan kebanyakan SUV dipadankan dengan tayar yang lebih besar bagi menghasilkan ketinggian yang dikehendaki oleh jurutera. Masalahnya ialah semakin besar tayar, semakin mahal kos penggantian kos tayar setiap 2 tahun. Jika anda biasa pakai tayar 14 inci, cuba tukar tayar 18 inci. Beruban juga kepala ya.

5. Kos Servis – Bila saiz enjin lebih besar, maka kos servis tidak akan sama. Sebagai contoh mungkin ia perlukan lebih dari 4 liter minyak enjin untuk ditukar setiap servis. Sistem AWD juga mungkin perlu diperiksa dan diselenggara untuk memastikan sistem AWD berfungsi dengan baik. Jika ia menggunakan konfigurasi RWD (Rear Wheel Drive), minyak rear differential juga perlu ditukar setiap kali servis major. Kalau ada tawaran servis percuma macam Mazda, itu memang terbaik.

Jadi artikel ini bukanlah untuk membantutkan minat anda untuk membeli SUV/Crossover tapi untuk dijadikan panduan dan peringatan sekiranya anda ingin membeli SUV. Jadi ini menerangkan mengapa kebanyakan pengeluar mula mengeluarkan SUV kompak yang lebih kecil, mampu milik dan kos penyelenggaraan yang rendah

Google ads
Back to top button