PANDU UJI: MAZDA CX-30 CROSSOVER ORANG MUDA
Saya teringat beberapa tahun lepas ketika pulang ke kampung halaman melalui Lebuh Raya Timur- Barat, itu pertama kali saya bertembung dengan Mazda 2. Saya anggarkan dengan kereta Myvi yang telah dipasang dengan bar penstabil di roda depan dan bar anti oleng di belakang, ditambah pula dengan kebiasaan melalui jalan tersebut, dengan mudah saya ayam-ayamkan Mazda2 sedan tersebut
Kami beradu keupayaan ketika menuruni bukit, pada masa ini perbezaan saiz enjin 200cc akan menjadi minima. Ia bergantung pada skil, keupayaan mekanikal kereta dan testikel siapa yang lebih besar. Menuruni bukit pada halaju 140km/j sebelum selekoh memerlukan fokus yang tinggi. Saya tahu jika saya memasuki selekoh pada halaju tersebut, pasti Myvi saya ke gaung.
Brek mulai ditekan pada pada penghujung selekoh dan Myvi mulai memasuki selekoh dengan pantas. Ketika itulah Mazda2 tersebut memotong saya tanpa brek dan terus memecut ketika selekoh dengan kemas sekali. Keupayaan mekanikal Mazda2 tersebut memang mengagumkan. Myvi dan pengalaman saya di laluan tersebut tak cukup handal.
Tapi hari ini kita bukan nak bersembang pasal Mazda 2 tapi crossover yang berasaskan Mazda 3 iaitu Mazda CX-30.
1. Rekaan Luar
Semua model Mazda berkongsi satu persamaan rekabentuk, (1) bonet depan yang rendah dan panjang, (2) bumbung yang rendah dan (3) rekaan rim yang besar. Bahagian bonet depan direka rendah dengan memuatkan grill dengan logo Mazda yang terapung. Dari jauh ia seperti kereta sport klasik yang lama.
Bahagian sisi menggunakan rekaan Kodo 2.0 di mana rekaan pintu depan dan belakang menekankan penggunaan bayang – bayang yang akan terhasil secara infiniti dari depan ke belakang (tiada kaitan dengan batu infiniti Thanos)
Menguatkan lagi imej sporti CX-30 ialah dengan kehadiran sepasang ekzos dan sepasang lampu yang cukup seksi bagi sebuah crossover. Melengkapkan pakej crossover pada CX-30 ialah penggunaan clading atau plastik hitam pada perumah tayar. Namun nampak sedikit besar berbanding dengan crossover lain.
2. Lampu
Lampu depan CX-30 menggunakan lampu LED dengan projektor lengkap dengan lampu DRL terbina dalam. Lampu isyarat pula diposisikan pada bahagian bampar. Lampu depan ini lengkap dengan teknologi Sistem Lampu Adaptif dimana sudut pencahayaan akan mengikut sudut stering dan High Beam Control yang akan menyalakan lampu tinggi secara automatik.
3. Rekaan Dalam
Rekaan kabin CX-30 sama seperti Mazda 3 yang kami pandu uji, papan pemuka CX-30 datang dengan kemasan kulit berwarna coklat gelap beserta benang sebenar berwarna putih. Terdapat kemasan krom minima pada bahagian dalam CX-30 seperti pada roda stering, suis penyaman udara dan corong penyaman udara.
Falsafah Mazda ialah cuba mengurangkan visual noise, jadi anda akan perasan kebanyakan model baru Mazda datang dengan skrin Mazda i-Connect yang lebih kecil. Mereka mahukan pemandu fokus pada stering dan jalan raya. Varian 2.0 High ini datang dengan kusyen dan stering balutan kulit. Sedap bila genggam.
4. Trenkuasa
Terdapat 2 pilihan enjin pada CX-30 iaitu 2000cc SkyActiv G yang menggunakan petrol ataupun 1800cc SkyActiv D yang menggunakan disel. Enjin ini menghasilkan 162 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 213Nm tork pada 4000 RPM hasil gabungan teknologi pancitan bahan api terus dengan pemasaan injap VVT
Kesemua kuasa dihantar pada roda depan melalui transmisi SkyActiv Drive 6 kelajuan automatik dengan kawalan penukar gear pada roda stering.
5. Sistem Cesi
Roda depan menggunakan sistem gantungan Topang McPherson manakala roda belakang menggunakan torsion beam. Usah risau walaupun menggunakan torsion beam, cesi CX-30 cukup stabil dan tegar untuk bermain di selekoh. Teknologi Mazda G-Vector Control Plus membetulkan yaw-moment pada CX-30 dengan menghantar kuasa brek pada roda luar secara individu ketika selekoh bagi memberi kestabilan tambahan
6. Sistem Keselamatan
Semua varian akan menerima 7 beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik, ABS, EBD, dan Brake Assist. Namun bagi varian 2.0 High dan 1.8 High ia menerima pakej i-ActiveSense yang merangkumi Lampu Depan Adaptif, Lampu Tinggi Automatik, Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Belakang, Lane Departure Warning System, dan Lane Keep Assist yang akan membetulkan kawalan stering, dan sistem brek automatik
Kalau anda rasa itu dah banyak, sebagai tambahan terdapat Driver Attention Alert yang akan memantau kelakuan pemandu samaada dia mula mengalami micro sleep, dan Mazda Radar Cruise Control yang menggunakan radar pengesan bagi sistem pemanduan automatik
Sistem brek automatik beberapa telah menyedarkan saya ketika pemanduan dengan memberi amaran agar menggunakan brek. Namun sebaik sahaja saya mengelak kereta di hadapan, sistem tersebut akan padam secara automatik. Driver Attention Alert pula pernah mengingatkan saya agar berhenti berehat selepas 3 jam memandu tanpa henti.
Mungkin sistem risaukan saya yang tiba-tiba menekan pedal minyak dengan agresif dan brek mengejut. Ahh padahal penulis sedang cuba mengejar F30. Elok juga berhenti solat sekejap.
7. Ergonomik
Kedudukan kerusi pemandu dibuat dengan sedikit menegak namun terdapat 10 cara pengubahsuaian yang boleh dibuat bagi mencari posisi yang ideal. Bila dah jumpa, setkan pada 2 butang memori. Stering kuasa bantuan elektrik boleh diubahsuai secara menegak dan teleskopik. Unit i-Connect senang digunakan sewaktu memandu. Skrin sesentuh tidak disediakan atas faktor keselamatan.
8. Peralatan Bantuan Pemandu
Di hadapan pemandu terdapat satu projektor khas yang akan memaparkan maklumat halaju, amaran dan maklumat sistem MRCC terus pada cermin tanpa perlu pemandu melihat pada paparan meter. Paparan meter pula terdiri dari kombinasi meter digital dan meter RPM analog. Parkir brek datang dengan fungsi auto hold .
9. Pengalaman Pemanduan
Sebaik sahaja anda duduk, perkara pertama yang anda sedari ialah kusyen pemandu depan datang dengan rekaan yang hampir sama dengan sedan Mazda3. Ia berbentuk separa bucket dengan balutan kulit. Rekaannya seperti memaksa anda duduk dengan tegak namun menyokong tangan agar kedudukan tangan sentiasa pada kedudukan pukul 9 dan 3.
Ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri, namun selepas anda menemui kedudukan yang ideal, ia mampu menyokong tubuh bagi pemanduan jarak jauh. Pedal minyak datang dengan organ type menjadikan ia sedap ditekan bagi memerah kuasa 162 kuasa kuda dan 213Nm tork.
Kuasa akan dihantar secara linear kepada transmisi 6 kelajuan automatik namun jika ditekan dengan agresif, mekanisme klac akan mengunci dengan pantas dan menghasilkan sedikit sentapan pada badan penulis, dan ia mengujakan. Kuasa yang dihantar cukup untuk menggerakkan crossover dengan berat 1453kg dan ia memiliki 115 kuasa kuda per tan.
Trek ujian penulis ialah Lebuh Raya Grik – Jeli yang kaya dengan selekoh yang menggembirakan. Nampak saja laluan berbukit serta berselekoh, kaki rasa berselera menekan pedal minyak dengan agresif. Walaupun begitu, amat jarang sekali enjin perlu bekerja keras melebihi 3000 RPM. Unit transmisi dan klac auto bekerja dengan cemerlang.
Melainkan anda perlu melakukan enjin braking dengan menggunakan penukar gear pada stering, barulah enjin meligat pada 4000 sehingga 5000 RPM. Selain itu amat susah untuk mendengar bunyi enjin. Namun bunyi yang dihasilkan oleh enjin dan ekzos berkembar itu bagaikan muzik yang merdu, lagi sedap dari drama band. Sumpah
Hanya ketika menuruni bukit berselkoh barulah penulis memaksa transmisi menukar gear dengan kerap disebabkan penulis perlukan cengkaman tayar depan yang lebih. Brek jalan lurus, turunkan satu ratio, bila terasa cesi depan mulai mendap sedikit barulah putar stering dalam selekoh. Di sini cesi SkyActiv beraksi cemerlang, melekat.
Melainkan terdapat lopak, jalan beralun atau tidak rata di selekoh yang akan menyebabkan tayar depan hilang cengkaman seketika dan tayar belakang seolah olah meloncat di udara 0.1 saat. Ketika ini fenomena undertseer mulai terasa, dan reaksi segera penulis ialah angkat kaki dari pedal minyak dan lebihkan input stering.
Jadi komen penulis berkenaan suspensi torsion beam pada roda belakang CX-30 ialah, “forgive but not forget”. Ia melakukan tugas dengan baik kecuali jika anda terlalu memaksa di selekoh. Komunikasi antara input stering pada tayar depan dan reaksi pada tayar belakang adalah bagus, seperti berada dalam kumpulan wassap yang sama, dan lebih baik dari kumpulan wassap parti pemerintah.
Di sini nampak kebijaksaan transmisi SkyActiv Drive ini. Bila pedal minyak dilepaskan, ia kekal dalam gear asal dan RPM enjin kekal. Jika sewaktu anda lepaskan pedal minyak ia berada 4000 RPM, ia akan kekal disana agak lama, menunggu input dari penulis. Faedahnya, sewaktu keluar dari selekoh transmisi tidak perlu bekerja keras bagi membuat pecutan keluar dari selekoh.
Brek yang dibekalkan juga baik, namun sedikit kurang reaktif berbanding dengan CX-3 yang lebih sensitif. Namun lebih baik dari CX-5 yang terasa sedikit tenggelam dan lembut. Dalam aspek pengendalian disebabkan penyerap hentak yang digunakan lebih panjang (long stroke) ia menyerap kecacatan permukaan jalan dengan baik. Lebih baik dari Mazda3.
Sempat juga penulis bergurau senda dengan sebuah E90 yang tercabar apabila dipotong di selekoh. Namun sekejap saja penulis bermesra sebelum meninggalkan E90 tersebut di 2 laluan berselekoh. Kalau anda perlukan sebuah kenderaan untuk cross country dengan selesa dan pantas, CX-30 mungkin ada jawapan untuk anda
10. Fungsi Tambahan
Pintu ruang kargo sebesar 430 liter boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan kuasa elektrik. Suis tersebut boleh diakses melalui butang kunci kawalan jauh, pintu dan juga papan pemuka. Jika pemandu memasukkan gear undur, cermin sisi akan condong ke bawah bagi memberikan pandangan sudut belakang yang lebih baik. Bumbung suria disediakan dengan headliner dibuka secara manual
11. NVH
Berikut ialah data bunyi yang didengari dalam kabin ketika memandu CX-30 di atas lebuh raya yang baru diturap. Penulis bersetuju yang penggunaan torsion beam pada roda belakang mengurangkan bunyi bising ketika memandu. Kualiti pemasangan unit CBU Jepun ini wajar dipuji, tiada bunyi skru longgar atau plastik bergetar kedengaran.
Penggunaan tayar Dunlop Sport Maxx adalah lebih baik berbanding dengan Toyo yang dipasang pada model CX-3. Ia lebih senyap dan prestasi ketika jalan basah adalah bagus. Ia tidak mudah terdedah kepada fenomena aquaplaning.
12. Penggunaan Petrol
Bacaan penggunaan petrol yang diberikan oleh Mazda ialah 15.6km bagi setiap liter petrol. Penulis berjaya mendapat bacaan sekitar 14.58km per liter dengan ujian pemanduan sebenar. Agak susah untuk memandu dengan berhemah sepanjang masa dengan crossover ini. Di lebuh raya penulis kekal pada 130-170km/j manakala di laluan kampung halaju di antara 70-130km/j.
13. Kelemahan
Walaupun penulis agak positif berkenaan CX-30 namun ada beberapa kelemahan rekaan seperti penyandar tempat duduk belakang sedikit menegak walaupun memiliki ruang kaki yang selesa. Alangkah bagus jika sudut penyandar dapat diturunkan sehingga 5-10 darjah. Sistem penyaman udara walaupun ditetapkan pada suhu 22 darjah Celcius, namun penyaman udara kereta milik penulis lebih sejuk pada suhu 25 darjah celcius.
Rumusan
Penulis bukanlah peminat crossover ataupun SUV. Bagi penulis kalau perlukan kenderaan lasak, beli saja kenderaan pacuan 4 roda. Tapi kalau anda perlukan sebuah kenderaan yang mengekalkan pemanduan seperti kereta, tidak terlalu tinggi, tak terlalu besar seperti crossover lain dan selesa dipandu untuk perjalanan jarak jauh, anda boleh pandu uji Mazda CX-30
Kalau anda rasakan Mazda 3 sedan 1.5 adalah pilihan yang mahal pada harga RM 139,620 maka alternatif yang lain ialah CX-30 2.0 pada harga RM 143,059 yang pada pandangan penulis lebih berbaloi. Atau kalau ada bajet lebih, terus pilih 2.0 High dengan harga RM 164,059.