Buletin

SELESAI CATAT REKOD PALING LAJU DI KANADA, GT-R 3,300HP BERNILAI RM2.7 JUTA TOTAL LOSS

Sesetengah orang bernasib baik, manakala yang lain perlu membina sendiri kereta lumba mereka.

Begitulah kisah seorang pelumba drag dan top speed runner berusia 32 tahun, Maxime Bouladier-L’Écuyer. Dia cuba mencatat rekod kelajuan tertinggi dalam acara RaceTheHalf yang diadakan di sebuah landasan lapangan terbang di Maniwaki, Quebec Kanada.

Maxime memilih jentera daripada OB Prestige Auto Nissan GT-R yang dipanggil Alpha Queen. Kereta itu didakwa mempunyai kuasa 3,300 selepas bengkel AMS Performance dari  Chicago dikatakan berjaya mengekstrak 77psi boost tanpa menyebabkan enjin twin-turbo V6 itu meletup.  

Bukan itu sahaja, Alpha Queen dipasang dengan roll-cage yang mendapat kelulusan penuh daripada NHRA. Ini membuatkan Maxime semakin yakin untuk memandunya.

Hasilnya, GT-R berkenaan berjaya mencatat kelajuan 372km/j. Namun, malang tidak berbau, parachute gagal berfungsi menyebabkan jentera itu terkeluar dari trek. Ia berhenti sepenuhnya selepas terbalik, dengan badan dan enjin mengalami kerosakan teruk.

Dalam satu kemas kini, AMS Performance memberitahu bahawa parachute itu sebenarnya boleh berfungsi dengan baik. Tetapi pemandu gagal mengaktifkannya pada masa yang sesuai.

Apa pun, pemiliknya yang juga pengasas produk makanan tambahan Ideal Protein, Olivier Benloulou berpuas hati kerana dapat mencatat rekod kelajuan paling tinggi di Kanada.

“GT-R itu sudah melaksanakan misinya dengan memenangi perlumbaan. Lebih penting lagi, nyawa pemandu kami terselamat. Jika tiada roll-cage, pasti kereta itu sudah hancur berkecai,” kata Benloulou.

Apa yang pasti, GT-R berharga AS$665,000 (RM2.7 juta) itu total loss.

Google ads
Back to top button