Buletin

KOYAK POKET! BELI KERETA TERPAKAI RM100K, KOS PEMBAIKAN HAMPIR RM33K DALAM MASA SEBULAN

Sebelum membuat pembelian kereta terpakai, ada baiknya kita buat penyelidikan terlebih dahulu. Baik dari segi harga, daya tahan dan kebolehpercayaan sesebuah model atau jenama. Kalau tidak, pembelian tersebut boleh buat poket anda rabak seperti cerita seorang lelaki dari Singapura ini.

Zhuo Zhengcheng, berusia 48 tahun, membeli kereta terpakai pada harga SGD$30,000 (RM99,629), tetapi terpaksa membelanjakan hampir SGD$10,000 (RM33,209) untuk pembaikan dalam masa sebulan sahaja.

Dia membeli Citroen di sebuah pengedar kereta pada September, tetapi mengalami banyak masalah selepas hanya sebulan digunakan, lapor Shin Min Daily News.

Dia memberitahu selepas hanya seminggu membeli kereta itu, lampu isyaratnya mula berkelip dan membawanya untuk diperiksa. Hasil pemeriksaan tersebut, dia perlu membersihkan penapis pada harga SGD$300 (RM996).

Masalah tidak berhenti di situ. Seminggu kemudian, Zhuo mendakwa pendingin hawa pula tidak berfungsi. Dia terpaksa membelanjakan SGD4,000 (RM13,296) untuk membaik pulih paip sistem pendingin hawa tersebut.

Zhuo berkata pengedar kereta itu telah memaklumkan kepadanya bahawa jarak perbatuan kenderaan berusia tujuh tahun itu adalah kira-kira 100,000km. Tetapi apabila dia membawa kereta itu untuk diservis, mekanik memberitahu mileage kereta itu pada 1 Ogos ialah 225,702km, tetapi menunjukkan jarak 108,361km.

Mekanik itu juga mendedahkan klac kereta sebelum ini telah diganti, iaitu perkara biasa selepas perbatuan kereta melebihi 160,000km. Jadi, Zhuo mengesyaki odometer telah diubah.

Masalah terakhir terjadi apabila perjalanannya ke Melaka bersama isteri pada Oktober lalu terpaksa dibatalkan kerana kereta itu kembali meragam. Bimbang masalah lain timbul di sepanjang perjalanan, dia memutuskan untuk membatalkan perjalanan dan pulang ke rumah.

Zhuo menyatakan dia telah menghubungi pengedar kereta untuk meminta mereka menanggung sebahagian daripada kos pembaikan, tetapi usahanya nyata sia-sia

Apabila Shin Min Daily News menghubungi pengedar kereta tersebut untuk mendapatkan komen, mereka menafikan bahawa odometer kenderaan itu telah diusik.

Pekerja itu juga memberitahu waranti telah terbatal kerana Zhuo membawa kereta tersebut ke bengkel tidak berlesen.

Walau Bagaimanapun, pengedar kereta itu menawarkan Zhuo servis percuma sekali sahaja di pusat pembaikan kereta yang ditetapkan, memandangkan tiada kerosakan tambahan pada kenderaan itu. -Says

Google ads
Back to top button