Buletin

KPDNHEP BELI 55 UNIT PERODUA ARUZ

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) telah membeli 55 unit Perodua Aruz AV. Ia menandakan kemasukan SUV tujuh-tempat duduk tersebut ke dalam sektor kerajaan dan menjadi pembelian fleet pertama bagi model tersebut.

Upacara penyerahan diadakan di ibu pejabat Kementerian di Putrajaya. Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abdul Aziz menyerahkan kunci replika sebagai simbolik kepada Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Dato’ Haji Iskandar Halim Haji Sulaiman.

“Kami amat berterima kasih kepada KPDNHEP kerana memilih Perodua Aruz, sekali gus menyokong ekosistem bekalan automotif Malaysia. Ini kerana lebih daripada 90 peratus komponen Aruz adalah daripada sumber tempatan. Begitu juga dengan semua model kami yang lain,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Dengan lebih 23,000 unit telah dijual daripada 33,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada Januari lalu, Aruz merupakan SUV yang menawarkan nilai terbaik di pasaran dan paling laris di Malaysia setakat tahun ini.

Tugasan para pegawai penguatkuasa KPDNHEP sering melibatkan perjalanan yang jauh. Aruz ialah kenderaan yang lasak, boleh dipercayai, luas, praktikal, mudah dipandu dan mempunyai pelbagai konfigurasi tempat duduk.

Di samping kemudahan seperti pembaca kad tol dan kamera perakam binaan dalam, HDMI, Smart Link, Bluetooth dan sistem navigasi.

Dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Perodua Aruz diberi penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

Ia juga merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang dinilai sebagai paling cekap dalam kelasnya dengan 15.6 km/l, menyumbang kepada kos pemilikan yang rendah.

“Ditambah dengan rangkaian servis terbesar di Malaysia, kami yakin KPDNHEP akan mendapati Perodua Aruz sebagai kenderaan yang sangat sesuai dengan keperluan mereka,” tambahnya.

Dalam usaha menghalang penularan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua mengambil inisiatif dengan menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP di ibu pejabatnya di Sungai Choh semalam.

Julai lalu, Perodua telah menganjurkan sesi perjumpaan bersama KPDNHEP dalam usaha untuk membanteras produk dan alat ganti tiruan berjenama Perodua di pasaran. Ini menjadikannya antara syarikat pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif sedemikian.

Tags
Google ads
Back to top button